HomeBeritaPeniaga kecewa MBSJ mahu roboh 30 gerai sebelum PRU15

Peniaga kecewa MBSJ mahu roboh 30 gerai sebelum PRU15

PUCHONG: Sebanyak 30 gerai peniaga Melayu menerima notis daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang bertindak mahu merobohkan gerai mereka dalam tempoh seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Bulatan Puchong Permai, Yusof Isa berkata, notis itu menyatakan perobohan akan dikenakan terhadap 30 gerai peniaga Melayu di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai mengikut Seksyen 72 (5) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Ada 24 Ahli Majlis MBSJ lantikan Pakatan Harapan (PH), dimana penyandang Parlimen Puchong sebelum ini adalah dari DAP, Gobind Singh Deo.

“Kenapa hendak roboh gerai kami menjelang PRU? Adakah sebab semua peniaga ini orang Melayu seolah ada cop di dahi kami sokong Barisan Nasional (BN) yang beriya-iya sangat nak roboh.

“Kami tidak nafikan MBSJ ada sediakan gerai untuk penempatan semula gerai peniaga yang hendak dirobohkan tetapi kenapa mereka bina ditempat tidak strategik tiada pengunjung. Adakah sengaja bazir duit rakyat dan susahkan peniaga?

“Setelah bantahan dibuat, MBSJ menyediakan gerai di medan selera Puchong Permai bagaimanapun tawaran penempatan dibuka secara tender  menyebabkan semua peniaga di gerai ini tidak dapat pula.

“Inilah wajah sebenar pimpinan PH, DAP mereka sebar propaganda kata BN rasuah tetapi apabila mereka mentadbir peluang meniaga untuk Melayu ditutup, dicantas, disusahkan.

“Sebaliknya peluang sebesar-besarnya diberi kepada kroni mereka,” katanya pada sidang media berhubung perobohan 30 gerai peniaga Melayu oleh MBSJ di bulatan Puchong Permai di sini hari Rabu.

Turut hadir, calon BN di P103 Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Pengerusi MIC Bahagian Puchong, B. Awtar Singh dan Tok Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Batu 12 Puchong, Ismail Awang.

Syed Ibrahim melawat pemilik gerai yang menerima notis MBSJ untuk dirobohkan seminggu sebelum PRU15

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum tentang masalah peniaga, dan membuat permohonan berkali-kali supaya tidak merobohkan gerai sejak tiga tahun lalu.

“Sehingga hari ini kami tidak mendapat sebarang maklum balas penyelesaian untuk peniaga di sini daripada pihak MBSJ, sebaliknya, tiba-tiba diberikan notis seminggu sebelum pilihan raya untuk roboh gerai,” katanya.

Author

Pilihan Editor