HomeBeritaPenjawat awam Selangor dapat bantuan khas dua bulan setengah gaji

Penjawat awam Selangor dapat bantuan khas dua bulan setengah gaji

CYBERJAYA: Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) tahun 2022 kepada semua anggota berkelayakan dan berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebanyak dua bulan setengah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian BKK kali pertama minimum sebanyak RM1,000 itu telah dilaksanakan menerusi insentif khas Rahmah Ramadan 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri lalu.

Menurutnya, pemberian BKK kali kedua iaitu insentif satu bulan gaji minimum RM1,000.00 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM37.63 juta akan dibayar pada 29 Disember depan.

Perkara itu diumum beliau ketika berucap dalam Pembentangan Bajet 2023 semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Jumaat.

Tambah Amirudin, BKK kali ketiga pula iaitu insentif sebanyak setengah bulan gaji minimum RM1,000 pula akan dibayar pada Februari tahun depan.

“Pemberian BKK ini bagi meringankan beban penjawat menampung persiapan persekolahan sesi 2023/2024 yang akan bermula pada pertengahan Mac tahun depan.

“Pemberian BKK ini dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat anggota yang berkelayakan dalam garis panduan pemberian BKK yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM),” ujarnya seperti dilapor Sinar Harian.

Author

Pilihan Editor