HomeMV+PendapatZahid layak jadi TPM kerana doktrin pengasingan kuasa dalam Perlembagaan

Zahid layak jadi TPM kerana doktrin pengasingan kuasa dalam Perlembagaan

APABILA sebut sahaja nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ada segelintir yang ‘alergik’ dan mulalah serangan bertalu-talu mengaitkan kes beliau yang masih dalam perbicaraan mahkamah.

Penulis suka berkongsi ayat al-Quran di bawah ini sebagai peringatan untuk diri dan pembaca.

Surah al-Isra’ ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Dalam Islam, seseorang tidak di dapati bersalah selagi Hakim atau Qadi tidak membuat keputusan ke atasnya.

Sebahagian ahli UMNO dan rakyat yakin bahawa Zahid didakwa di mahkamah disebabkan beliau memegang jawatan Presiden UMNO.

Daripada analisis penulis, mana-mana ahli UMNO yang memegang jawatan Presiden sentiasa menjadi sasaran untuk dikenakan apa-apa tindakan seperti pendakwaan terpilih bagi memastikan kekuatan parti UMNO terus lenyap di Tanah Melayu ini dengan perpecahan.

Situasi ini menyebabkan kadang-kadang fitnah boleh berlaku atau menghukum seseorang lebih daripada ‘dosanya’, dosanya mungkin menerima nasihat salah daripada ‘punahsihat’ tetapi ia tidak bererti dosa itu ditanggung sehingga kiamat.

Memetik kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, kita tidak tahu secara pasti apa yang terkandung di dalam hatinya sama ada iman atau kufur.

Kita tidak tahu apa akan berlaku terhadap seseorang pada penghujung hayatnya di dunia ini.

Kemungkinan seorang kafir pada masa kini akan mengakhiri kehidupannya dengan bertaubat dalam keimanan, begitu juga sebaliknya.

Dalam erti kata lain, kesudahan nasib setiap manusia terletak di tangan Allah SWT, berhenti ambil kerja Tuhan. Begitu indah nya Islam dalam memperhalusi nasib setiap penganutnya.

Jika kita yakin ketetapanNya, pastinya tiada kegusaran di hati kita bagaimana nasib tanah air ini dan anak cucu kita di Malaysia, ini kerana Tuhan sudah berjanji yang zalim pasti dapat balasan, yang dizalimi akan dilindungi.

Lihat sahajalah pengakhiran karier politik Tun Dr Mahathir Mohamad yang namanya sentiasa disebut dan dicatatkan sebagai pengkhianat kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid.

Mari kita lihat dari sudut fakta, dalam sistem demokrasi berparlimen, Malaysia mengamalkan pengasingan kuasa yang juga dikenali sebagai Trias Politica dipopularkan oleh Montesquieu seorang ahli falsafah melalui karya agungnya The Spirit of Law.

Ia memperlihat kewujudan tiga serangkai badan pemerin­tahan iaitu legislatif berfungsi menggubal penggubal undang-undang; eksekutif berfungsi melaksanakan pentadbiran dan menguatkuasakan undang-undang; dan badan kehakiman menegakkan sistem keadilan mengikut undang-undang.

Pengasingan kuasa itu penting bertujuan mewujudkan konsep semak dan imbang (check and balance) supaya pe­me­rintahan negara dapat dilaksanakan secara adil.

Ia dapat mengelak mana-mana badan melampaui bidang kuasa badan lain dan setiap badan dapat beroperasi secara bebas tanpa rasa takut dan dibayangi oleh pengaruh dan kuasa badan lain.

Di bawah doktrin ini, Perlembagaan membenarkan ahli badan perundangan dilantik menjadi ahli eksekutif atau jemaah menteri.

Perkara ini dapat dilihat ketika perbicaraan kes bekas Perdana Menteri sehingga rayuannya di Mahkamah Persekutuan ditolak dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini dikekalkan.

Jika dilihat keputusan itu, ternyata badan kehakiman telah melaksanakan fungsinya dengan betul.

Ia tidak bimbang terhadap tekanan dan pengaruh politik yang berlaku di luar mahkamah yang cuba mempertikai integriti badan kehakiman.

Mahkamah membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan.

Dalam perbicaraan kes ber­pro­fil tinggi itu, tiada cam­pur tangan dan pengaruh badan eksekutif.

Jadi dengan kata lain, walaupun Ahmad Zahid masih dalam perbicaraan namun mengikut Perlembagaan ini beliau masih layak untuk memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet malah Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Kebimbangan rakyat terhadap campur tangan bidang kehakiman tidak wajar berlaku kerana jika beliau didapati bersalah selepas rayuan maka akan gugur secara automatik segala kelebihan dan jawatannya.

Sebagai contoh penjawat awam yang ada kes mahkamah, selagi belum didapati bersalah walaupun di Mahkamah Jenayah Syariah , pihak berkenaan masih layak untuk menikmati bonus, gaji, kenaikan jawatan dan kemudahan lain, begitu juga Ahli Parlimen.

Tiada satupun undang-undang pun boleh menyekat beliau daripada menerima mana jawatan dalam Kabinet.

Jangan lupa, PM ke-10 juga merupakan bekas banduan 20 keluar masuk penjara, dengan rekod jenayah sukar diterima jawatan dalam sektor awam atau swasta namun tidak jejaskan peluangnya untuk jadi PM, masih diterima rakyat, diberi peluang berbakti untuk negara malah turut diperkenan Yang di Pertuan Agong.

Jadi kenapa pula ada yang mahu menafikan hak Ahmad Zahid dalam Kabinet, ciri kepimpinan yang ada padanya dan hubungan baik dengan Asia Tenggara sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

Kelebihan ini memberi keseimbangan dengan kelebihan Anwar yang memiliki hubungan baik antarabangsa, jika kedua-duanya saling bekerjasama bukankah yang untungnya rakyat?

Ahmad Zahid memiliki daya tahan tinggi sebagai pemimpin, beliau pernah diheret ke penjara ketika menentang Mahathir, diberi tekanan sama ketika beliau diminta keluar dari BN untuk selamat pendakwaan politik.

Pengalaman beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, merangkap Presiden UMNO dan dipilih sebagai Pengerusi BN, memiliki porfolio daripada pelbagai jawatan nombor satu di beberapa kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebenarnya memberi nilai tambah kepada Ahmad Zahid untuk teraju negara.

Beliau pernah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri pada masa sama sebagai Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Pelancongan.

Selain itu, sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional Berhad (BSN), Pengerusi Perumahan Negara (SPNB) jawatan penting dalam Amanah Saham Nasional (ASN), dan jawatan di empat syarikat senaraian awam (public listed company).

Beliau juga adalah Setiausaha Politik kepada Najib, selain dari itu memenangi pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO mengalahkan orang kesayangan Mahathir tetapi malangnya dikhianati oleh Mahathir apabila jawatan itu diberi kepada Hishamuddin.

Berdasarkan rekod dan pengalamannya, isu perbankan, pelaburan, perumahan, korporat, pertahanan, pelancongan, keselamatan sudah tersemat di genggamannya, melengkapkan ciri kepimpinan masa kini.

Memiliki hubungan diplomatik yang amat baik dengan dunia luar untuk menarik peluang pelaburan FDI (fixed deposit investment) terutamanya dari negara Arab atau Timur Tengah.

Ahmad Zahid ketika kekalahan BN dan UMNO pada tahun 2018, beliau tegar tidak melompat parti, kukuh tidak menjadi pengkhianat walau bukti jelas kesan penentangan mengheret sahabat politiknya, Najib ke penjara.

Propaganda ‘kluster mahkamah’ dicipta oleh Mahathir sebelum PRU15, semua tohmahan ditelan pihak lawan demi Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid memberi peluang yang sama dan berlaku adil walaupun ramai mempertikaikan kenapa beliau meletakkan orang yang bisa menikamnya kembali.

Begitulah juga ketika beliau memberi sokongan menerusi surat akuan sumpah untuk melayakkan Muhyiddin dan Ismail Sabri berada di kerusi PM sebelum ini.

Hanya dengan ada jawatan dalam Kabinet, beliau diharap mampu memulihkan dan menstabilkan keadaan ahli yang sedang berpecah dihasut oleh oleh pihak yang mahu jatuhkannya, memulihkan masalah dalaman perpecahan ahli UMNO.

Kata orang rujuk al-Quran jika ada pertikaian, dan penulis mahu kongsi terjemahan surah Al-Maidah, ayat 8 buat pedoman.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan karena Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Karena (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Author

Pilihan Editor