HomeBeritaPolitikPernah jalani kehidupan B40, Eizlan Yusof nekad bawa perubahan di Sabak Bernam

Pernah jalani kehidupan B40, Eizlan Yusof nekad bawa perubahan di Sabak Bernam

 

CYBERJAYA: Keperitan hidup yang dilalui ketika membesar dalam keluarga serba kekurangan nyata membuatkan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof lebih memahami situasi yang dihadapi rakyat Malaysia masa kini.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 51, turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menerusi tiket parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Katanya, kehidupan yang dilaluinya dahulu selaku golongan B40 membuatkan dia teguh berjuang dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Saya berasal dari keluarga B40, jadi saya faham keperitan hidup dan mereka boleh duduk bersembang dengan saya.

“Saya bersyukur sebab Allah buka banyak pintu sehinggalah ke hari ini menjadi calon Parlimen di Sabak Bernam,” katanya seperti dilapor mStar pada Selasa.

Eizlan turut mengakui bahawa dia seorang yang berhati ‘tisu’ setiap kali berdepan dengan pihak yang dalam kesusahan.

Perkara itu membuatkan sahabatnya, Dr Ahmad Idham mencadangkan Eizlan untuk menyandang jawatan Pengerusi Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri pada tahun lalu.

“Ahmad Idham kata saya paling layak sebab jiwa saya ‘tisu’, saya memang ada masalah apabila berdepan dengan orang yang berada dalam kesusahan.

“Sekiranya diberi mandat di Parlimen Sabak Bernam, saya memberi jaminan untuk menyelesaikan beberapa isu,” katanya.

Jelasnya, antara isu yang ingin diselesaikan di Sabak Bernam adalah berhubung kelemahan jalur lebar (internet) talian telefon, naikkan sektor eko-pelancongan, pertanian dan peluang kerjaya golongan belia.

“Saya adalah orang yang suka bekerja dan bukan hanya cakap kosong.

“Jika kalah sekali pun, saya akan terus mendesak wakil rakyat supaya menyelesaikan masalah berkenaan, selaras dengan tanda pagar #jomkitabuatkerja,” ujarnya.

Untuk rekod, Parlimen Sabak Bernam bakal menyaksikan Eizlan bertembung dengan tiga lagi calon iaitu Shamsul Maarif Ismail (PH), Datuk Abd Rahman Bakri (BN) dan Kalam Salan (PN).

Author

Pilihan Editor