HomeGaya HidupPemimpin hebat lahir daripada penderitaan paling gelap

Pemimpin hebat lahir daripada penderitaan paling gelap

FILEM Black Panther 2: Wakanda Forever, terbitan Marvel Cinematic Universe (MCU), kali ini cukup berbeza dari segi jalan cerita namun tampil dengan idea lebih segar yang sesuai dengan citarasa generasi muda.

Jika kita imbas kembali filem pertama Black Panther atau Raja T Challa yang dilakonkan oleh Chadwick Boseman, ia telah memberi mesej besar kepada peminat watak Super Hero kerana karya ini menunjukkan tiada perbezaan warna kulit untuk menjadi seorang penyelamat dunia.

Black Panther satu-satunya mengetengahkan watak penyelamat lelaki kulit hitam pertama di dunia selepas watak penyelamat wanita kulit hitam pertama di dunia ditonjolkan menerusi filem Catwoman.

Berbalik kepada sekuel Black Panther 2: Wakanda Forever berdurasi 2 jam 40 minit itu, ia digarap penuh emosi dengan mengetengahkan penderitaan watak protagonis muda, Puteri Shuri lakonan Letitia Wright dan juga mengetengahkan penderitaan sama oleh antagonisnya Namor dijayakan pelakon Tenoch Huerta.

Sepanjang tayangan penuh melankoli, pengarahnya, Ryan Coogler berjaya membawa penonton menjelajahi semua emosi bersama kesedihan yang amat mendalam dan ingatan kepada Chadwick.

Filem ini berjaya mengangkat watak baik dan jahat berada pada satu taraf dan kedudukan sama, mengimbas fasa perjalanan hidup yang membentuk jati diri mengikut acuan pengalaman jiwa raga masing-masing.

Puteri Shuri dari bangsa Wakanda meratapi kematian abangnya iaitu Black Panther lakonan Chadwick yang di mana dalam dunia realiti beliau mati akibat kanser.

Namor pula dari bangsa Talokan menjadi Raja Kerajaan Bawah Laut yang kematian ibunya sejak kanak-kanak, digelar sebagai ‘Anak Tanpa Kasih Sayang’.

Persamaan mereka adalah dari segala sudut, kesuraman hati, melihat kematian demi kematian, kehilangan insan tersayang, emosi terluka yang tidak dipulihkan tidak dilepaskan telah membentuk dendam, amarah dan pemberontakan dalam jiwa yang masih mentah.

Namor membesar dengan menjadi jahat, mengimpikan penaklukannya ke atas dunia darat dan mahu menghapuskan Wakanda kerana kerajaannya juga memiliki Vibranium, sumber paling berkuasa.

Ia lantas mengubah fakta sejarah bahawa Vibranium ini bukan hanya milik kerajaan Wakanda, sinisnya jika rasa diri hebat pasti ada lagi yang lebih hebat.

Begitu juga dalam seni politik hari ini, Namor adalah simbolik kepada dendam pemimpin yang tidak mahu orang lain lebih berkuasa, mempengaruhi orang lain agar sama-sama membenci dan menjatuhkan lawannya.

Shuri yang belum dapat melepaskan pemergian abangnya, terpaksa menyaksikan bondanya, Permaisuri Wakanda iaitu Ramonda lakonan Angela Bassett mati di depan mata ketika menyelamatkan gadis muda, Riri Williams seorang saintis buruan Namor.

Tragedi menyayat hati itu telah menghilangkan sikap adil dan empatinya kepada seorang yang ‘pendendam’.

Sejurus kematian ibunya, Shuri segera meminum herba bentuk hati bersumber Vibranium yang memberinya kekuatan, dengan semangat Black Panther untuk menuntut bela kematian ibunya dengan menyerang balik Namor.

Wakanda Forever menggunakan konsep kesedihan dari dasar hati, memejamkan mata mengenangkan kembali seseorang yang kita anggap penyelamat, sama ada kehilangan itu adalah ayah atau ibu yang kita sayangi sudah tiada lagi.

Tiada lagi pelukan, atau sekurang-kurangnya berbisik di telinga kita bahawa semua ini sementara sahaja, sabarlah hati dan teruskanlah perjuangan dengan keyakinan segalanya akan berakhir di negeri abadi.

Yang membezakan Namor dan Shuri adalah kasih sayang, Shuri membesar dengan kasih sayang bondanya, Ramonda.

Sifat perikemanusiaan dan kekuatan dalam sanubari Shuri masih ada, kerana ibunya.

Ia dapat dilihat ketika lembing sudah di tangan Shuri, dan Namor sudah lemah menyembah bumi, ketika masing-masing bertempur satu lawan satu, tiba-tiba roh Ramonda muncul menasihati puterinya agar tidak membiarkan dendam menguasai diri kerana dendam itu juga akan mempengaruhi rakyatnya sampai bila-bila.

Ibarat lagenda Nusantara terkenal iaitu Ratu Adil, Shuri mahu menunjukkan sikap kepimpinan yang adil demi kebaikan rakyat dari dua kerajaan kuat itu, dia mahu hentikan permusuhan diganti dengan kasih sayang.

Segala penderitaan yang amat dahsyat, kesengsaraan, banyaknya air mata yang mengalir itulah yang melahirkan seorang pemimpin hebat, dengan hati yang kuat serta adil melihat sisi baik atau buruknya manusia bahawa mereka datang dari Yang Esa dan akan kembali kepada Yang Esa jua.

Kata-kata Romanda sebagai Ratu Wakanda yang paling terkesan di hati penonton,”tidak cukupkah pengorbanan saya untuk rakyat dan negara? Saya telah kehilangan segala-galanya yang saya sayang”.

Itulah harga seorang pemimpin apabila dia memilih berjuang untuk yang lain.

Mesejnya jika kita tidak bangkit, tiada sesiapapun akan bangkit bersama kita, Shuri tidak membiarkan dirinya terus ‘mati’ sebaliknya kembali kuat bertahan demi rakyatnya sebagaimana satu frasa terkenal, “I will not die for you, but will survive for us”.

Author

Pilihan Editor