KUALA LUMPUR: Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini malam tadi, menyaksikan beberapa nama besar pemimpin UMNO tidak disenaraikan sebagai calon.
Paling mencuri tumpuan ialah penyandang Parlimen Ketereh, Kelantan Tan Sri Annuar Musa yang tidak dinamakan sebagai calon kawasan itu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia digantikan oleh Ketua Puteri UMNO Kelantan Marzuani Ardila Ariffin.
Di Perlis, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, tidak dinamakan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Arau dan Padang Besar.
Shahidan yang menyandang kerusi Parlimen Arau selama empat penggal, digantikan oleh Datuk Rozabil Abd Rahman, manakala Zahidi digantikan oleh Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.
Calon BN bagi Parlimen Jempol dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan, Tanjong Karang, Selangor dan Kuala Nerus, Terengganu pula tidak diumumkan pada malam tadi.
Kerusi Parlimen Jempol dan Tanjong Karang masing-masing disandang oleh Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.
Manakala calon BN Parlimen Kuala Pilah pada PRU14 ialah Datuk Seri Hasan Malek yang tewas kepada calon Bersatu Datuk Eddin Syazlee Shith dan di Kuala Nerus pula calon BN Dr Tengku Ahmad Asmadi Tengku Mohamad tewas dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS dan PKR.
Di Perak, dua nama besar turut tidak disenaraikan iaitu penyandang kerusi Pasir Salak bekas pengarah pilihan raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyandang kerusi itu selama empat penggal dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).
Ahmad Zahid mengumumkan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun sebagai calon BN di Pasir Salak, manakala Maslin Sham Razman di Kuala Kangsar.
Di Johor, penyandang Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba dan Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique turut tidak disenaraikan.
Dr Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi digantikan oleh Manndzri Nasib, manakala Halimah yang juga Menteri Perpaduan Negara digantikan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Di Pahang, penyandang kerusi Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib turut tidak dinamakan sebagai calon dan digantikan oleh Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin. – BERNAMA