KUALA LUMPUR: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung esok untuk anggota keselamatan dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Turut diadakan serentak ialah pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Sejumlah 578 pusat pengundian awal di seluruh negara akan dibuka bermula pukul 8 pagi, melibatkan 970 tempat mengundi/saluran.
Berdasarkan warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Oktober 2022 yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.
Daftar pemilih yang digunakan bagi PRU15 mengandungi 146,737 orang tentera serta pasangan dan 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sebahagian anggota keselamatan yang tidak dapat hadir mengundi awal kerana terpaksa bertugas boleh memohon untuk mengundi secara pos (Kategori 1A).
Antara tempat mengundi awal ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera.
PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 November lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 November, manakala hari pengundian pada 19 November. – BERNAMA