HomeBeritaPolitikWarga Puchong, mahu wakil rakyat atau wakil pemaju?

Warga Puchong, mahu wakil rakyat atau wakil pemaju?

 

CYBERJAYA: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Nambikkai Malaysia (Nambikkai), Datuk Dr Kalai Vanar mengingatkan para pengundi bagi Parlimen Puchong supaya memilih wakil rakyat dan bukannya wakil pemaju.

Katanya, pemilihan itu penting bagi memastikan masalah yang dialami warga Puchong dapat diselesaikan.

“Kali ini yang menjadi calon wakil Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Seri Syed Ibrahim daripada Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

“Peranan beliau sebagai calon adalah amat penting kerana tiga penggal tuan-tuan (rakyat Puchong) telah bagi peluang kepada parti DAP. Tiga penggal sejak 2008.

“Adakah masalah banjir, masalah kemarau, kalau buka paip tidak ada air, dua-dua perkara ini amat penting tapi belum lagi selesai,” katanya dalam video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok rasminya.

Menurutnya, calon BN bagi kerusi di kawasan itu iaitu Datuk Seri Syed Ibrahim merupakan seorang wakil rakyat yang berkaliber dan bersih daripada sebarang isu.

“Kalau tuan-tuan pilih Datuk Seri Syed Ibrahim dia adalah wakil rakyat yang tidak mempunyai skandal.

“Masa penuh politik beliau 22 tahun, beliau telah menceburi hal masyarakat sebagai badan NGO, pelbagai masalah kaum India, Melayu, Cina khususnya hal-hal orang Muslim beliau telah selesaikan.

“Beliau adalah seorang yang berwibawa, berpelajaran, berpendidikan tinggi dan juga simple hidup beliau,” ujarnya.

Tambah Kalai Vanar, wakil rakyat yang menerajui Parlimen Puchong sebelum ini (Gobind Singh Deo) sukar ditemui rakyat kerana sibuk di mahkamah.

“Dulu tiga penggal, nak jumpa wakil rakyat di Puchong ini susah, beliau sentiasa berada di mahkamah kerana itu karier beliau.

“Maka kali ini fikirlah dengan tenang dan teliti, jangan undi salah pangkah kepada DAP yang menjadi wakil pemaju, beliau (calon DAP) hanya akan menandatangani untuk projek,” katanya merujuk kepada calon DAP-PH, Yeo Bee Yin.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) sebelum ini mendakwa pencalonan Yeo berkahwin dengan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd, Lee Yeow Seng iaitu anak kepada mendiang pengasas IOI Group Berhad, Tan Sri Lee Shin Cheng sebagai calon PH di Parlimen Puchong pada PRU15 ini boleh mewujudkan konflik kepentingan.

Author

Pilihan Editor