KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sepanjang hari esok yang merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hujan diramalkan di satu dua tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, manakala di Sabah melibatkan pedalaman, Sandakan, Kudat dan Labuan pada sebelah pagi.
Cuaca juga diramalkan hujan di satu dua tempat pada sebelah malam di Semenanjung iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor, Pantai Barat Sabah dan di Sarawak, melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Kapit.
Di Semenanjung, ribut petir diramalkan pada sebelah petang di beberapa tempat di seluruh negeri manakala di Sabah meliputi kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.
Di Sarawak ribut petir turut melibatkan kawasan Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, manakala hujan di satu dua tempat di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong, pada sebelah petang.
Pada sebelah malam, ribut petir diramalkan di beberapa tempat di Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala di Sabah melibatkan Pedalaman dan Labuan.
SPR menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pula pada 15 November. – BERNAMA