HomeSukanSpeedy Tigers bakal terima habuan - KHM

Speedy Tigers bakal terima habuan – KHM

 

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan bakal menerima ganjaran susulan kejayaan cemerlang dan bersejarah menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian 39 tahun bergelar juara, semalam.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal yang berbangga dengan pencapaian skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu berkata, ganjaran akan diberikan tetapi perkara itu perlu dibentangkan kepada Lembaga Eksekutif terlebih dahulu.

“Ganjaran itu ada, hanya saya perlu lontarkan idea kepada barisan Lembaga Eksekutif. Saya tidak boleh buat keputusan sendiri.

“Apabila semua jawatankuasa bersetuju, kita akan buat majlis untuk meraikan kemenangan mereka (pasukan hoki negara),” katanya dalam sidang media bersama Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang baharu dipilih Tayyab Ikram di sini hari ini.

Pada aksi final penuh mendebarkan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak semalam, Malaysia menewaskan penyandang juara Korea Selatan 3-2 untuk merangkul kejuaraan yang dinanti-nantikan sejak edisi sulung pada 1983.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Kejayaan itu juga membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas.

Dalam pada itu, Subahan meminta Arul Selvaraj untuk berjumpa dengannya sendiri berhubung laporan yang mengatakan jurulatih itu memerlukan kakitangan tambahan bagi membantunya memajukan lagi skuad kebangsaan.

“Biar dia tanya saya sendiri (jika dia perlu) setakat ini saya dah bagi dua (kakitangan), seorang dari Afrika Selatan dan seorang lagi dari England…kalau nak lebih boleh tetapi minta dekat saya, jika praktikal saya bagi,” katanya.

Sementara itu, Subahan berkata, di bawah kepimpinan Tayyab, beliau percaya banyak perubahan boleh dilakukan demi kemajuan sukan hoki bukan sahaja di Asia tetapi secara keseluruhan.

Pada masa sama, Tayyib berkata: “Ketika ini, saya sedang mencari negara di mana kita boleh mengadakan kejohanan berprestij dan Malaysia adalah antara pesaing utama yang boleh kita adakan lebih banyak kejohanan antarabangsa.” – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor