HomeBeritaSyed Ibrahim bantu halang perobohan tapak niaga di Puchong Permai

Syed Ibrahim bantu halang perobohan tapak niaga di Puchong Permai

SUBANG JAYA: Calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berjaya menghalang daripada tapak niaga di bulatan Puchong Permai dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Tindakan beliau itu adalah salah satu usahanya membantu peniaga-peniaga di situ yang telah meluahkan kegusaran mereka berkenaan MBSJ akan merobohkan kedai mereka.

Syed Ibrahim telah pergi ke Bangunan MBSJ pagi tadi untuk berbincang dengan pihak MBSJ dan meminta supaya ditangguhkan perobohan tapak niaga di situ.

“Ada satu masalah di dataran Puchong Permai. Hari itu, MBSJ sudah memberi notis untuk merobohkan satu baris kedai, jadi sepatutnya hari ini kedai-kedai ini sudah dirobohkan.

“Jadi, tadi kita dapat berbincang dan selesaikannya, dapat ditangguhkan, mereka tidak merobohkan tapak niaga itu hari ini, ditangguhkan ke satu masa yang lain,” kata Syed Ibrahim selepas berbincang dengan MBSJ pada Rabu pagi.

Walaupun MBSJ menangguhkan perobohan tapak niaga itu, namun setakat ini mereka tidak menjamin sebarang kepastian berhubung keputusan perobohan tapak itu

Menurut Syed Ibrahim, masih ada lagi ruang untuk berunding perkara tersebut dengan MBSJ dan pihak beliau akan mencari jalan untuk mengatasinya dan alternatif yang boleh diguna pakai oleh peniaga.

Syed Ibrahim meminta penangguhan perobohan itu kerana tidak sampai hati membiarkan nasib peniaga-peniaga di situ tertindas tanpa pembelaan di samping mereka mempunyai keluarga untuk dijaga dan disara.

Author

Pilihan Editor