HomeBeritaDisneyland akan dibina di Jasin, Melaka

Disneyland akan dibina di Jasin, Melaka

 

CYBERJAYA: Melaka akan menjadi tumpuan di mata negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) kerana sebuah Taman Tema Disneyland dan Disney City berkeluasan kira-kira 80.9 hektar bakal dibangunkan dalam daerah Jasin pada tahun 2027.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pembangunan taman tema itu adalah yang pertama diwujudkan di ASEAN selepas China, Korea, Eropah dan Jepun dan pembinaannya menelan kos kira-kira RM2 bilion.

Menurutnya, pembinaan taman tema itu dapat menambah baik sasaran Malaysia dalam mempertingkatkan jumlah pelancong yang masuk ke negeri itu.

“Setelah lebih 20 tahun, kita akan ada taman tema baharu walaupun tidak berapa besar tetapi saya rasa memadai dengan nama Disneyland yang dapat dibawa masuk.

“Ianya akan menambah baik lagi sasaran kita untuk mempertingkatkan sasaran 20 juta pelancongan dalam masa tiga tahun dan kembali pada landasan yang asal iaitu 18.7 juta pelancong yang telah kita capai pada tahun 2019.

“Disneyland dalam perancangan, kita sedang rencanakan kemungkinan insya-Allah berada di dalam daerah Jasin, kita tak boleh maklum dahulu lokasi yang sebenar, keluasannya sekitar 150 hingga 200 ekar (60.7 hingga 80.9 hektar).

“Bukan hanya Disneyland tetapi juga ada cadangan pembangunan 22 kilometer sistem ‘Maglev’ bagi menghubungkan lokasi ‘hotspot’ pelancongan Melaka dengan nilai pelaburan 200 juta dolar bersamaan RM900 juta, secara keseluruhan projek ini boleh mencapai hingga RM2 bilion,” katanya seperti dilapor Melaka Hari Ini pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Cadangan 22KM Sistem Maglev untuk Menghubungkan Lokasi Hotspot Pelancongan dan Membangunkan Taman Tema Disneyland serta Disneycity di Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Menara Taming Sari, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Melaka Berhad, Mohd Salleh Jusman; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin; Pengerusi KCI Metrolink Sdn Bhd, Dr. Parimalan R. Isa Michael dan wakil Korea Camping Caravanning Federation Adivisional Corporation, Mr Sunkyo Chris Lee.

MoU berkenaan membabitkan beberapa syarikat termasuk Taming Sari Berhad, Institusi Perbankan (Exim Credit Dubai Zurich Capital Bank & Sparco Bank UK) dan Korea Camping Caravanning Federation A Divisional Corporation (KCCF).

 

Author

Pilihan Editor