KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Negara pagi ini, untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan berwarna putih dinaiki Ahmad Zahid memasuki Istana Negara melalui pintu dua pada kira-kira 10.45 pagi, sejurus selepas kenderaan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan tiba pada 10.40 pagi.
Turut kelihatan masuk melalui pintu sama ke Istana Negara ialah kenderaan membawa Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada 10.30 pagi ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ia lanjutan daripada sesi menghadap baginda oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, petang semalam.