HomeBeritaPolitikKembali kepada politik kebersamaan, bukan perpecahan

Kembali kepada politik kebersamaan, bukan perpecahan

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin Melayu Islam disaran untuk terus memelihara semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan mereka, tidak kira apa jua jajaran politik dicapai.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kemelut politik yang seolah-olah tidak akan selesai walaupun rakyat sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, PPIM melahirkan rasa kecewa jika ini telah menjadikan kemelut politik yang bakal menjejaskan perjalanan pentadbiran dan pembangunan negara dalam segala segi.

“Kemelut ini boleh diselesaikan tanpa ada rasa angkuh, ego atau dendam politik.

“Justeru, apa jua jajaran politik yang dicapai dan dipersetujui, kebebasan institusi kehakiman sebagai satu entiti yang mampu menjamin keadilan serta mengekalkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan serta status individu berkaitan wajib dikekalkan.

“Penubuhan kerajaan dengan mandat yang baharu dengan segera agar rakyat boleh terus diberikan tumpuan dalam mendepani keadaan ekonomi yang merudum, kos sara hidup yang kian meningkat, dan lain-lain cabaran bakal ditempuhi tahun depan,” menurut kenyataan itu.

Dakwa PPIM, rakyat sudah bosan dengan keadaan politik yang terus bergolak sejak 2018 dan setelah bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali.

“Negara juga telah menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa dan keadaan ekonomi menjadi semakin buruk ditambah pula dengan pandemik COVID-19.

“Perebutan kuasa dan penentuan Perdana Menteri kini menjadi semakin rumit kerana keadaan ‘Hung Parliament’ yang timbul setelah tiada satu parti pun yang berjaya mendapat sebuah majoriti mudah.

“Walaupun kita menganggap bahawa penggabungan parti-parti politik membolehkan sebuah kerajaan dibentuk, namun ia bukanlah semudah yang kita fikirkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, meskipun tiada kepastian apakah faktor utama yang menyebabkan keadaan demikian, namun kerumitan ini berpunca keegoan pemimpin tertinggi parti duduk berunding untuk mencapai kata sepakat dan dengar suara akar umbi dalam membentuk kerajaan.

Justeru, PPIM mengambil ketetapan untuk mengesyor Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya merangka pelan tindakan yang wajar dalam mendepani cabaran ekonomi lebih rumit, tahun depan.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga kejadian yang tidak diingini, bagi membendung keadaan sedemikian daripada menjadi lebih buruk.

“Ia juga bagi memastikan keadaan ekonomi fiskal negara berada dalam keadaan mapan demi mengelakkan sebarang persepsi negatif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pilihan Editor