CYBERJAYA: Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kasihannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui ciapan Twitternya pada Rabu.
Mahathir dalam kenyataannya itu berkata, walaupun Ismail diumumkan sebagai calon Perdana Menteri daripada BN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun perkara itu hanya tinggal janji sahaja.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri dari BN jika parti itu mememenangi PRU15.
“Kasihan Ismail Sabri. Dijanji akan terus jadi Perdana Menteri apabila BN menang. Dan dia pun bubar Parlimen. Sekarang kroni-kroninya tidak dipilih sebagai calon. Dia jadi lemah.
“Ramai percaya janji Zahid Hamidi bahawa Ismail akan jadi Perdana Menteri akan hanya tinggal janji. Yang akan jadi PM akhirnya ialah Zahid Hamidi,” kata Mahathir.
Terdahulu, tular khabar angin yang mengatakan Zahid akan menjadi Perdana Menteri daripada BN jika parti itu menang PRU15 walaupun Ismail diumumkan sebagai calonnya.
Beberapa tangkapan gambar surat aku janji UMNO yang menunjukkan beberapa pihak menandatangani perjanjian bahawa Zahid akan menjadi Perdana Menteri jika BN menang PRU15 telah tular di media sosial.
Namun perkara itu telah dinafikan UMNO dan presidennya dan mengesahkannya sebagai palsu.
Dalam PRU15, Mahathir kekal mempertahankan kerusi Parlimennya iaitu Parlimen Langkawi; Ismail pula kekal mempertahankan Parlimen Bera; manakala Zahid pula kekal mempertahankan Parlimen Bagan Datuk.