KUALA LUMPUR: Usaha menyatukan parti-parti politik yang berbeza ideologi akan menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan yang stabil dan kukuh, menurut penganalisis politik dan pakar undang-undang.
Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata tugas itu memerlukan kebijaksanaan yang tinggi memandangkan perlembagaan parti-parti terlibat mengandungi peruntukan yang berbeza.
“Ia (perlembagaan parti) menzahirkan betapa berbezanya ideologi masing-masing. Inilah cabaran yang paling penting supaya kerajaan ini kukuh dan tak perlu kita tukar kerajaan,” katanya dalam temu bual Siaran Khas Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri ke-10 di Bernama TV, hari ini.
Selain ini, Shamrahayu juga berkata, persidangan pertama Parlimen perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada pertengahan Disember untuk membentangkan Bajet 2023 bagi melaksanakan sekurang-kurangnya bayaran gaji untuk penjawat awam.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, komposisi kerajaan perpaduan mestilah rasional dan praktikal serta merangkumi wakil daripada semua blok politik, agama, etnik, gender dan negeri.
Katanya walaupun dengan jumlah anggota kabinet yang kecil, namun ia mestilah padat dan berkualiti dengan kepakaran, kebolehan dan kemahiran yang membolehkan kabinet bergerak sebagai satu pasukan.
“Sudah pasti Kabinet ini wajar merangkumi kesemua yang telah pun bersetuju untuk berada dalam kerajaan perpaduan. Ia tidak boleh terlalu besar dan saya percaya satu langkah yang boleh diambil ialah mengelak daripada mengambil mereka yang berjawatan dalam parti.
Mungkin yang tidak berjawatan dalam parti boleh berada dalam kerajaan supaya kerajaan itu berjalan dengan licin, lancar dan tersusun dan juga membawa keharmonian dalam kalangan mereka yang akan menganggotai jemaah menteri,” katanya.
Anwar hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – BERNAMA