HomeBeritaPolitikZahid perlu berundur dengan segera sebelum UMNO jadi lebih parah - Annuar

Zahid perlu berundur dengan segera sebelum UMNO jadi lebih parah – Annuar

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang menempatkan Ibu Pejabat UMNO terus menjadi tumpuan pada hari ini dengan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa serta beberapa Ketua Bahagian UMNO mendesak Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Kata Annuar, tindakan Ahmad Zahid untuk berunding dengan Pakatan Harapan (PH) menjalin kerjasama politik bagi membentuk kerajaan setelah Parlimen pada masa kini  berada dalam situasi tergantung susulan tiada mana-mana parti politik meraih majoriti mudah telah melanggar kata sepakat membawa prinsip ‘No Anwar, No DAP’ pada siri pehimpunan Agong UMNO yang lalu.

Tambahnya, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk parti pada PRU15 lalu dengan mengikut prinsip parti berundur sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dengan sikap berjiwa besar seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2018.

“Apa yang pucuk pimpinan telah rancang semuanya gagal, kena ada tanggungjawab, seperti Datuk Najib pada tahun 2018, demi untuk kebaikan parti dan untuk bergerak ke hadapan , Presiden perlu berundur. Jadi ini yang patut dilakukan Presiden sekarang. Kalau nak terus berjuang dengan naratif yang gagal, kita akan terus gagal.

“Kita letak 80% calon baru, sangat baik tetapi masih kalah. Kita hidangkan poster boy, Ismail Sabri ada rekod yang cemerlang sebagai PM selama 14 bulan tetapi kenapa kita masih gagal. Kerana gelombang rakyat menolak Presiden UMNO. Itu sebab juga mereka tolak PH (pengundi Melayu).

“Kalau nak kesinambungan parti ini diteruskan, dan Zahid kena berundur. Rakyat telah membuat verdict (keputusan), kita cuba pertahankan pemimpin kita, tetapi rakyat telah tolak Presiden UMNO sekaligus mengheret rakyat, untuk menolak keputusan PAU. Macam mana kita nak berhadapan dengan ahli-ahli kita. Sudah langgar keputusan PAU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan sidang media di Kafe Riverside di WTC bersama segelintir Ketua-Ketua Bahagian UMNO di sini, pada Isnin.

Desakan menuntut peletakan jawatan Zahid sebagai Presiden UMNO dalam sidang media itu turut dibuat oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Ketua Bahagian Pasir Salak) Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Ketua Bahagian Jempol) dan Datuk Yahya Mat Ghani (Ketua Bahagian Batu) serta beberapa pemimpin lain.

Author

Pilihan Editor