HomeBeritaPolitikLebih baik BN jadi pembangkang ikut mandat rakyat - Annuar

Lebih baik BN jadi pembangkang ikut mandat rakyat – Annuar

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) menyatakan parti itu perlu bergerak sebagai pembangkang di Parlimen susulan kekalahan teruk dalam sejarah parti dan dihukum rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, BN tidak perlu membentuk kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan persekutuan yang membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi tumpuan kepada pemulihan parti yang perlu bermula dengan pengunduran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi laluan kepada kepimpinan baru menerajui parti itu.

Tambahnya, sekiranya pucuk kepimpinan parti membuat keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti politik dan kekal menjadi kerajaan, jawatan Perdana Menteri seharusnya menjadi milik UMNO kerana parti tersebut diwujudkan untuk memerintah bukannya menjadi KingMaker.

“Kami lagi suka mandat rakyat untuk jadi pembangkang. Kami redha menjadi pembangkang yang lebih bermaruah dan berwibawa. UMNO tidak perlu menjadi peminta sedekah. Kalau gabung dgn PH dan PN boleh beri jawatan PM kepada UMNO, kami akan sokong.

“Dan perlunya patut beri kepada kepimpinan baharu, yakin UMNO akan jadi pemerintah semula PRU16. Kita nak Presiden baru, Presiden perlu berundur. Kita tidak mahu Presiden sekarang digulingkan, sila berundur secara terhormat. Kami ada WhatsApp group, berbincang, suara majoriti nyatakan No PH, No DAP, kami mahu jadi pembangkang, lawan tetap lawan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Kafe Riverside, di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menyatakan UMNO ditubuhkan sebagai parti pemerintah yang memperjuangkan nasib rakyat dan bukannya naratif sebagai KingMaker kepada parti politik lain.

“UMNO tidak ditubuhkan untuk menjadi kingmaker seperti Naratif yg diwujudkan oleh beberapa pihak yang dilihat memihak kepada Presiden yang kini berusaha bergabung dengan PH. UMNO ditubuhkan untuk memerintah.

“Kalau nak jadi kingmaker pun, kenapa nak angkat orang yang nak sembelih parti kita. Cuba tengok dasar dan perjuangannya,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor