HomePendidikan300,000 buku teks BM, Sejarah oleh YaPEIM tidak cukup

300,000 buku teks BM, Sejarah oleh YaPEIM tidak cukup

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300,000 cetakan buku subjek Bahasa Melayu dan Sejarah oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk tahun ini masih tidak mencukupi.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang@Musran Tawil berkata, percetakan buku itu memang ditunggu-tunggu dan menerima banyak permintaan oleh pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Beliau berkata, cetakan modul diagihkan secara berperingkat membabitkan 144 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

“Ketika saya dapat tahu kedua-dua naskah tersebut dibuat oleh YaPEIM bersama guru-guru berpengalaman dan pakar.

“Walaupun sudah cetak 300,000 naskah kita lihat ia masih belum mencukupi untuk keperluan pelajar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi YaPEIM Bersama Media 2022 bagi menghargai peranan dan kerjasama yang diberikan oleh pengamal media terhadap YaPEIM.

Turut hadir kira-kira 100 pengamal media dari pelbagai agensi ke majlis itu.

Terdahulu Awang Tawil diminta mengulas mengenai perkembangan percetakan buku teks oleh YaPEIM.

Tambahnya, sasaran sebanyak 2,452 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menerima manfaat itu.

“Ini dengan anggaran penglibatan 20 hingga 80 orang pelajar bagi setiap sekolah seluruh negara.

“Objektif pelaksanaan Inspirasi Pendidikan YaPEIM 2022 bertujuan menyantuni pelajar-pelajar kategori lemah dan sederhana.

“Selain itu, ia bertujuan membantu pembangunan modal insan dan kemenjadian pelajar serta memberi tips dan teknik kepada pelajar bagi mencapai tahap lulus dan seterusnya cemerlang dalam peperiksaan SPM,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak tahun 1985 sehingga 30 November 2022, YaPEIM telah mengagihkan lebih RM800 juta membabitkan 8.29 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Author

Pilihan Editor