CYBERJAYA: Alumni Parlimen Belia Malaysia berharap Kerajaan Perpaduan konsisten bersama dengan kaum Uighur yang tertindas dengan pihak berkuasa China.
Presidennya, Mohamad Nazrin Faiz berkata, pihaknya kecewa krisis keganasan terhadap kaum Uighur di China itu masih tidak berkesudahan.
Menurutnya, kaum Uighur perlu diberi hak untuk meneruskan kepercayaan mereka malah hidup dengan kepercayaan masing masing kerana ini adalah hak asasi manusia.
“Pihak kami berharap Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk ini terus konsisten bersama laum Uighur yang teruk ditindas ini.
“Alumni Parlimen Belia Malaysia berharap dengan adanya perkembangan terbaharu ini akan membawa paradigma baharu kepada kaum Uighur malah kaum yang tertindas di negara lain.
“Malaysia terus yakin mesti ada jalan penyelesaian terbaik demi semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Alumni Parlimen Belia Malaysia akan konsisten menjadi suara semak imbang pihak kerajaan agar isu anak muda malah isu rakyat dalam dan luar negara disampaikan.
Katanya, ini adalah supaya denyut nadi mereka akan didengari malah komuniti antarabangsa akan terus disuarakan dan menjamin untuk terus berjuang bagi semua yang memerlukan.
Sementara itu, Ketua Penerangannya, Sivanesan Tamil Selvam menggesa kerajaan mengkaji dan menggubal semula agenda diplomasi antarabangsa bagi menjadi suara membantah isu pencabulan hak asasi manusia itu.
“Dengan kewujudan Malaysia Baharu perlu ada satu resolusi yang tegas dalam menangani isu-isu berkaitan Hak Asasi Manusia sehingga Malaysia dianggap sebagai negara yang memberikan penekanan serta keuatamaan kepada isu Hak Asasi Manusia di rantau ini.
“Beberapa organisasi media antarabangsa sudah membuat pendedahan terhadap sebuah fail yang mengandungi ratusan foto tahanan Uighur bertajuk The Xinjiang Papers dan maklumat layanan buruk yang mereka terima di kem tahanan.
“Kompilasi dokumen tersebut mendedahkan jutaan etnik Uighur menjadi tahanan di kem pendidikan semula secara paksa. Ada juga laporan membuktikan mereka yang ditahan dijadikan sebagai buruh paksa demi menyokong pertumbuhan pesat ekonomi China,” kata Sivanesan.
Katanya lagi, Malaysia juga perlu mengkaji kedudukan negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan sebagai ‘Silent Sitter’ malah menjadi negara yang berperanan tinggi dalam menangani sebarang isu antarabangsa yang melibatkan penindasan Hak Asasi Manusia.