HomeHiburan‘Artis lama’ masih relevan sebab ada album bukan single semata – 6ixth...

‘Artis lama’ masih relevan sebab ada album bukan single semata – 6ixth Sense

 

LAMBAKAN artis baharu dalam industri tanah air masa kini membuatkan sebilangan daripada mereka kelihatan seperti ‘angin lalu’ sahaja.

Perkara itu berikutan bait-bait lirik yang dikategorikan lagu popular mengikut peredaran masa yang seringkali diputarkan di corong-corong radio itu hanyalah bersifat sementara.

Namun, jika dibandingkan dengan artis lama yang sudah lebih 10 tahun berkarya dalam industri muzik, rata-rata lagu mereka kekal menjadi kegemaran orang ramai tanpa mengira generasi.

Vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo berkata, antara faktor yang membezakan lagu ‘orang lama’ itu kekal relevan sehingga kini adalah kerana kebanyakan daripada mereka menghasilkan album dan bukannya single semata-mata.

Jelasnya, industri muzik masa kini yang lebih bersifat global juga menjadikan sesebuah lagu itu sukar bertahan dalam tempoh yang lama.

“Bagi kami, mungkin sebabkan kami dulu orang lama yang biasa buat album. Jadi dia punya karya itu ada banyak yang orang boleh tahu. Berbeza dengan sekarang, budak-budak (penyanyi/band) yang baru keluar ini, kebanyakan dia keluarkan single.

Single ini satu lagu sahaja yang ”hit wonder’ tapi selalunya dia akan hilang cepat. Berbeza dengan orang yang buat album kerana kalau ada album andai kata ada 10 lagu, mungkin ada tiga lagu yang akan top, orang tahu. Tapi kalau single, satu lagu sahaja dan tak hit, mesti akan hilang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Tak Bisa Memilihmu’ itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert 7Belas 6ixth Sense yang berlangsung di Panggung Asia, Gombak, semalam.

Pada masa sama, Adi turut menyatakan konsert 7Belas merupakan konsert sulung kumpulan 6ixth Sense yang diadakan selepas 17 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

Jelasnya, konsert 7Belas merupakan platform buat kumpulan itu memberi penghargaan kepada para peminat 6ixth Sense yang tidak henti-henti menyokong karya mereka sehingga kekal relevan masa kini.

Malahan, ahli kumpulan 6ixth Sense turut berharap karya-karya kumpulan itu juga dapat menawan hati khususnya dalam kalangan generasi muda.

Author

Pilihan Editor