HomeHiburanBanyak kali kena tipu, Ryan Bakery 'serik' nak percaya orang

Banyak kali kena tipu, Ryan Bakery ‘serik’ nak percaya orang

CYBERJAYA: “Jujurnya, saya banyak kena tipu tentang duit, saya mencari rezeki dengan menghasilkan pelbagai kandungan kreatif dan apabila usaha saya tidak dihargai, susah untuk saya mempercayai orang lain”.

Itulah yang diungkap pencipta kandungan kreatif, Ryan Fahmi Bakery, 27, ketika mendedahkan bahawa dirinya pernah mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurutnya, perkara itu berlaku hanya kerana dia bersikap jujur dalam berurusan dengan segelintir pihak.

“Awal tahun ini, saya pernah ditipu hingga mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit apabila ada pihak yang meminta saya menghasilkan kandungan tidak membayar hasil kerja.

“Saya malas mahu panjangkan cerita, jadi saya halalkan sahaja perkara itu,” kongsinya seperti dilapor Utusan.

Ryan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Gempak Most Wanted Awards 2022, pada Jumaat.

Sejak aktif di media sosial bermula dua tahun lalu, Ryan yang popular dengan karakter ‘budak bedak’ itu turut akui bahawa pengalaman pahit yang dilaluinya kini membentuk dirinya menjadi lebih kuat dan berani dalam berdepan rintangan.

Gandingan mantap bersama pelawak, Shuib dalam beberapa video membuatkan namanya semakin dikenali dan kini makin aktif menceburi industri seni tanah air.

Menurut Ryan, dia bersyukur apabila dipertemukan dengan seorang pengurus yang boleh dipercayai, selain berpengalaman luas dalam selok-belok industri hiburan.

“Saya ini orang kampung dan tidak mempunyai gaji tetap. Pernah juga saya lambat terima bayaran sedangkan kerja sudah siap dilunaskan. Apabila ada pengurus, saya lebih yakin untuk terima tawaran kerana ada yang memantau segala aspek melibatkan pekerjaan,” katanya.

Untuk makluman, Ryan antara pempengaruh yang tercalon dalam Gempak Most Wanted Awards 2022 bagi kategori Pencipta Kandungan Digital Tergempak bersama calon lain iaitu Khairul Aming, Mek Yun, Syahmi Sazli dan Namie SMY.

Majlis anugerah berkenaan akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 26 Februari depan.

Author

Pilihan Editor