HomeBeritaPolitikBeri peluang Zahid selamatkan 'rumah pusaka' - Ketua Pemuda UMNO Ranau

Beri peluang Zahid selamatkan ‘rumah pusaka’ – Ketua Pemuda UMNO Ranau

CYBERJAYA: Ketua Pemuda UMNO Ranau, Vennex Jasmin @miki meminta ahli UMNO memberi peluang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selamatkan UMNO yang dianggap seperti rumah pusaka keluarga.

Beliau berpendapat kerana ketika ini UMNO masih lagi dalam keadaan rapuh, tidak stabil dan ada pengkhianat yang cemburui legasi ini.

Vennex memberi analogi parti UMNO sebagai sebuah rumah harta pusaka keluarga.

“Rumah ini harta pusaka keluarga turun temurun sejak lebih 76 tahun, sedang dibaik pulih, ada pula anak derhaka yang sibuk hendak jualkan harta pusaka yang tak banyak ini.

“Rumah ini pula terletak di lokasi strategik segitiga emas, ramai orang luar meleleh tengok, tak sabar tunggu ia dilelong atau tergadai.

“Jadi sebagai anak yang diamanahkan untuk menjaga peninggalan keluarga ini, pastinya dia enggan melihat harta pusaka keluarga ini jatuh ke tangan yang salah.

“Pendapat saya biarkanlah dahulu rumah ini dibaik pulih, dibersihkan, dicantikkan terlebih dahulu baharulah diserahkan kepada mana-mana pewaris baharu yang cintakan warisan keluarga ini bukan memiliki agenda tertentu,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau turut menyokong usul jangan pertandingkan jawatan Presiden UMNO dan timbalannya dalam pemilihan parti akan datang.

Itu cadangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan mahu supaya usul tersebut dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 bulan depan.

UMNO perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat bagi penggal baharu dalam masa enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir, seperti yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Kali terakhir parti itu mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018.

Pemilihan yang sepatutnya berlangsung tahun ini ditangguhkan bagi mengelakkan perpecahan dalam UMNO menjelang PRU15.

Author

Pilihan Editor