KUALA LUMPUR: Semua pihak harus menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membentangkan usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, tindakan sedemikian menunjukkan Anwar adalah seorang yang berani.
“Pandangan peribadi saya sangat mudah. Akhirnya dalam sistem Westminster, sesiapa sahaja boleh mengusulkan undi percaya pada bila-bila masa.
“Tetapi untuk Perdana Menteri hari ini mengadakan usul tersebut walaupun sudah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong selain sokongan gabungan besar dan beliau mahu ia dibuat daripada bawah… saya rasa kita perlu menghormati keputusannya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, di sini, hari ini.
Azalina berkata, Anwar mahu Ahli Parlimen menunjukkan sokongan mereka kepada dirinya dan ia adalah hak prerogatifnya sebagai sebagai Ketua Majlis Mesyuarat (Ketua Dewan).
“Saya rasa beberapa perdana menteri tidak akan melakukannya. Tetapi dia (Anwar) mahu. Mungkin apabila Kerajaan Perpaduan ini bercakap tentang ketelusan dan akauntabiliti dan itulah langkahnya. Ia datang daripada Ahli Parlimen di luar sana.
“Ahli Parlimen perlu menunjukkan sokongan kerana ini adalah Kerajaan Perpaduan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Jadi, kita tnggu dan lihat pada 19 dan 20 Disember ini,” katanya.
Ditanya apa yang akan berlaku jika Anwar tidak lulus undi percaya tersebut, Azalina menjawab: “Itu untuk Speaker (Dewan Rakyat) jawab.”
Anwar telah menyatakan bahawa usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Katanya, beliau menjelaskan perkara itu semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.
Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang djadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.
Anwar, pada sidang pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10. – BERNAMA