CYBERJAYA: Restoran makanan Jepun, Sushi King tampil memohon maaf kepada pelanggannya yang mengalami kejadian tidak bersih ketika makan di salah satu cawangan kedainya baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan media, Sushi King menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan dan memperkukuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian makanan serta menjalankan pengurusan latihan pekerja kepada kakitangan mereka.
“Kejadian ini telahpun dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk langkah selanjutnya.
“Kebersihan makanan sentiasa menjadi keutamaan kami. Oleh itu, kami tidak akan berkompromi berhubung perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan seorang pelanggan mendapati terdapat ulat dalam botol kicap yang dihidangkan.
Lantaran itu, pelanggan berkenaan memaklumkan pekerja berkaitan hal tersebut namun dia ‘terguris hati’ apabila pekerja di restoran berkenaan seolah-olah memandang tidak puas hati seperti kehadiran ulat itu berpunca daripadanya.