LONDON: Britain akan berusaha untuk membangunkan jet pejuang generasi akan datang dengan Itali dan Jepun, kata Rishi Sunak.
Perdana Menteri itu berkata, perkongsian pertahanan berkenaan akan memastikan Britain dan sekutunya “mengatasi dan menangani mereka yang cuba memudaratkan kita”, menurut dpa.
Downing Street menyasarkan jet yang dikenali sebagai Tempest in Britain dapat mula digunakan menjelang 2035 dan berfungsi sebagai pengganti RAF Typhoon.
Pesawat yang dibangunkan dalam program udara tempur global (GCAP) dipertingkat dengan keupayaan pesawat tanpa pemandu, sensor dan senjata canggih.
Projek itu dibangunkan sebagai tindak balas terhadap kebimbangan ketua-ketua ketenteraan bahawa penguasaan udaranya sedang terancam.
Sunak akan melancarkan fasa utama pertama program itu semasa lawatan ke RAF Coningsby di Lincolnshire pada Jumaat.
Menjelang lawatan itu, beliau berkata: “Keselamatan United Kingdom hari ini dan untuk generasi akan datang akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaannya.
“Usaha sama antarabangsa yang kami umumkan hari ini bersama Itali dan Jepun bertujuan untuk menggariskan bahawa keselamatan wilayah Euro-Atlantik dan Indo-Pasifik tidak dapat dipisahkan.
“Pesawat tempur generasi akan datang yang kami bangunkan akan melindungi kami dan sekutu kami di seluruh dunia dengan memanfaatkan industri pertahanan kami yang canggih – mewujudkan pekerjaan sambil menyelamatkan nyawa,” kata beliau.
Jet yang dibangunkan itu dijangka dapat terbang lebih pantas daripada kelajuan bunyi dan mempunyai keupayaan menembak senjata hipersonik.
Setiausaha Pertahanan Ben Wallace berkata: “Perkongsian antarabangsa dengan Itali dan Jepun untuk membangunkan pesawat tempur generasi akan datang, mewakili kerjasama terbaik teknologi pertahanan termaju dan kepakaran yang dikongsi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi selain keselamatan jangka panjang berterusan untuk Britain dan sekutunya.”
Perkongsian itu menggabungkan projek sistem udara tempur masa depan Britain dan Itali (FCAS) dengan program F-X Jepun.
Menteri itu berharap negara lain boleh membeli GCAP dalam masa terdekat.- BERNAMA