ALOR SETAR: Kegembiraan empat pelancong bertukar tragedi apabila dua daripadanya yang juga adik-beradik ditemukan lemas di Pantai Chenang di Langkawi, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata mangsa yang meninggal dunia ialah R. Yuvaaraj, 22, dan abangnya R. Ravishangkar, 26, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan lelaki yang berumur 24 dan 25 tahun datang ke Langkawi pada Jumaat lepas untuk bercuti.
“Sebelum kejadian, mereka telah pergi ke pantai kira-kira pukul 7 malam untuk mandi-manda. Kedua-dua mangsa telah turun mandi bersama rakan yang berumur 25 tahun manakala seorang lagi rakan mereka tidak turun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika mereka sedang mandi, dipercayai ombak besar menarik kesemua mangsa ke kawasan yang lebih dalam sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkapai-kapai dan meminta pertolongan.
“Rakan mangsa berjaya berenang ke arah tepi pantai dan telah mendapatkan bantuan daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang bertugas di pantai berkenaan. Bagaimanapun, dua lagi mangsa tidak berjaya menyelamatkan diri.
“Mayat mangsa yang berusia 22 tahun berjaya ditemukan pada 9.35 malam manakala mayat kedua yang berumur 26 tahun itu pula dijumpai pukul 12.40 tengah malam dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Sultanah Maliha (HSM) yang membuat pemeriksaan di lokasi,” katanya.
Shariman berkata mayat dua beradik itu dibawa ke HSM untuk proses bedah siasat dan ahli keluarga mangsa juga dimaklumkan telah tiba di Langkawi untuk urusan selanjutnya. – BERNAMA