HomeBeritaPolitikAtas permintaan ramai, Annuar buka keahlian baharu untuk MN lebih awal

Atas permintaan ramai, Annuar buka keahlian baharu untuk MN lebih awal

CYBERJAYA: Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan permohonan untuk menyertai MN sebagai ahli baharu telah dibuka dan boleh dibuat secara dalam talian (online).

Annuar berkata permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN atas permintaan ramai.

“Sepatutnya minggu hadapan. Namun atas permohonan ramai kita awalkan permohonan secara dalam talian,” katanya pada Ahad.

Beliau turut berkongsikan di Facebook rasminya kenyataan rasmi Setiausaha Kerja MN, Datuk Mohd Irwan Rizal mengenai pembukaan permohonan pendaftaran ahli baharu itu.

“MN adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Pertubuhan Malaysia dan bukan parti politik. Pendaftaran keahlian MN dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira agama dan kaum selaras dengan matlamat penubuhan MN.

“Bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, perlu mendapatkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga yang sah. Pendaftaran tersebut boleh dilakukan ‘online’ melalui laman sesawang rasmi MN: muafakatnasional.org.my,” ujar Mohd Irwan.

Tambahnya, pendaftaran keahlian MN dibuka secara ‘online’ bagi memudahkan pihak yang berminat untuk mendaftar dan maklumat lanjut mengenai MN boleh diperoleh melalui pautan laman rasmi atau media sosial rasmi MN.

Untuk rekod, MN merupakan parti kerjasama antara UMNO dan PAS, yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Uum ke-14 (PRU14).

Annuar memutuskan untuk mengaktifkan kembali NGO yang diasaskannya itu iaitu MN pada 25 November lalu dan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

UMNO mengesahkan Annuar dipecat dan digugurkan dari parti secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO pada Jumaat lalu, susulan kritikannya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta didakwa membantu kempen parti musuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Author

Pilihan Editor