HomeBeritaElak ketirisan, Wira PUTRA gesa PM ambil serius projek tender terhad

Elak ketirisan, Wira PUTRA gesa PM ambil serius projek tender terhad

CYBERJAYA: Pergerakan Wira PUTRA Malaysia menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum secara serius dan tegas mengenai proses tender terhad projek tebatan banjir di Kelantan.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata dalam satu kenyataan pada Khamis, Anwar perlu berhati-hati dengan golongan cerdik pandai dalam kerajaan yang menguruskan projek itu.

“Kita bangga dengan cerdik pandai dan profesional di dalam kerajaan, tapi kerana mereka cerdik pandai dan profesional lah, maka terdapat mereka yang dapat atur penipuan dengan cara yang amat halus tapi kelihatan patuh terhadap peraturan atau ‘rule of law’.

“Oleh itu, Wira PUTRA menggesa Perdana Menteri mengambil maklum secara serius dan tegas kerana kaedah tender terhad juga boleh berlaku ketirisan serta penyelewengan dan kos yang bakal dibelanjakan akan merugikan wang negara.

“Pilih kasih juga wajib diketepikan agar jangan kroni berterusan bermaharajalela,” kata Nasrul.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pada Rabu bahawa projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok akan diteruskan sepertimana dirancang.

Anwar berkata, beliau mahu projek tersebut dilaksanakan melalui proses tender walaupun ia tender terhad.

Mengulas pengumuman Anwar itu, Nasrul menjelaskan beberapa jenis proses pelaksanaan projek iaitu tender terbuka, runding terus dan tender terhad.

“Tender terbuka adalah kaedah rundingan terbaik tetapi prosedurnya lambat dan mengambil masa yang lama. Jika suatu projek yang perlu disiapkan segera, jika melalui tender terbuka pasti tidak dapat disempurnakan dengan segera.

“Pelaksanaan projek melalui runding terus atau ‘direct nego’ pula sememangnya cepat, tetapi harga yang ditetapkan adakala tidak masuk akal.

“Syarikat yang diberi tender secara ‘direct nego’ pula pasti mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang terlalu tinggi sehingga bayaran komisyen untuk pelobi pun dimasuk dalam kos projek, maka ia akan menjarah khazanah negara dan wang rakyat.

“Satu lagi cara ialah melalui tender terhad. Ini dikira antara kaedah terbaik jika dibandingkan dengan tender terbuka jika projek yang kerajaan hendak laksanakan dalam kadar segera dan dikira penting seperti projek tebatan banjir sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Nasrul, walaupun tender terhad merupakan kaedah yang baik dan mampu menjimatkan masa, namun, masih terdapat salah laku atau penyelewengan yang boleh berlaku yang akhirnya tetap merugikan wang negara.

Katanya, harga tender terhad juga boleh melambung tinggi jika tidak ada mekanisme yang berkesan serta pemantauan yang teliti sewaktu proses tender terhad ini dilaksanakan.

“Lazimnya, pihak atasan atau pihak berkepentingan akan menamakan secara senyap-senyap syarikat yang akan ditawarkan melaksanakan projek melalui tender terhad. Samalah juga dengan mengenal pasti syarikat untuk diberi projek secara rundingan terus.

“Maka, syarikat yang dikenal pasti untuk menerima tender terhad pula secara senyap-senyap akan mengatur dua atau tiga syarikat supaya menyertai tender terhad terbabit.

“Akan tetapi, dua atau tiga syarikat ini mengemukakan harga yang terlalu tinggi dan ianya merupakan pakatan atau konspirasi yang diatur lebih awal. Maka dua atau tiga syarikat ini dikira kalah kerana harga yang ditawarkan tinggi.

“Namun, dua atau tiga syarikat ini akan mendapat imbuhan atau ganjaran tiga hingga lima peratus setiap syarikat daripada nilai harga syarikat yang berjaya memperolehi tender melalui tender terhad tersebut,” jelas Nasrul.

Tambahnya, inilah yang akan berlaku apabila rundingan projek dilaksanakan melalui tender terhad serta apa sahaja penyelewengan dan salah guna kuasa pasti berlaku jika tatakelola dan pengurusannya tidak dilakukan secara telus dan berintegriti.

Author

Pilihan Editor