HomeBeritaBomba jumpa lelaki lemas di bawah rumah sendiri

Bomba jumpa lelaki lemas di bawah rumah sendiri

PASIR MAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan menemui seorang lelaki yang dikhuatiri telah lemas akibat banjir yang melanda kawasan kediamannya di Kampung Chenerai, Kelantan.

Komander Operasi JBPM Kelantan, PPgB Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mangsa merupakan seorang lelaki dewasa berusia 45 tahun yang dilaporkan telah hilang sejak petang semalam.

Pasukannya menemui mangsa di bawah rumahnya kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

“Pada hari Rabu, 21 Disember 2022, Bomba Kelantan terima panggilan kecemasan kejadian lemas yang berlaku di Kampung Chenerai, Pasir Mas pada jam 1.50 petang. Anggota daripada BBP Pasir Mas telah keluar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.

“Pada hari pertama pencarian, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah ditangguhkan pada jam 7 malam.

“Unit khas PPDA daripada BBP Pengkalan Chepa telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mencari mangsa yang hilang dan mula menjalankan pencarian bermula jam 9.45 pagi tadi,” katanya.

Tambah beliau, pasukan PPDA bertindak membawa keluar mangsa dan menyerahkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Author

Pilihan Editor