HomeHiburanFINAS amal dasar terbuka bawa karyawan ke antarabangsa

FINAS amal dasar terbuka bawa karyawan ke antarabangsa

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) kini bergerak lebih optimis dengan membuka lembaran baharu dalam mengangkat industri kreatif negara bagi menembusi anugerah akademi filem berprestij dunia seperti Oscar.

Pengerusinya, Datuk Seri Zurainah Musa berkata, FINAS yang sekarang bukan lagi seperti dahulu, sebaliknya semakin agresif mencari peluang untuk mengiktiraf penggiat seni negara termasuk kru di belakang tabir.

Oleh sebab itu, katanya, Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) kali ini menampilkan kelainan berbanding siri sebelum ini, bagi memberi pengiktirafan bukan sahaja filem tempatan tetapi juga peringkat antarabangsa.

“FINAS sekarang, bukan macam dulu, sekarang bergerak agresif ke hadapan untuk mengangkat industri kreatif.

“Selama ini kita iktiraf filem dalam negara. Kalau nak sampai diri (industri kreatif negara) keluar negara, kita kena buka pintu (mengiktiraf karya luar negara) kepada filem daripada antarabangsa datang ke negara kita.

“Biar mereka tahu Malaysia iktiraf filem mereka, dan kenapa tidak mereka. Kita nak (perjalanan) ke Oscar,” katanya mengulas mengenai kewujudan pengiktirafan karya luar negara pada festival filem berkenaan di Melaka, baru-baru ini.

Zurainah ditemui pada Majlis Pelancaran Rumah Artis di Jalan Ipoh, Sentul, di sini.

Rumah Artis adalah projek terbaharu pelakon, Putra Amaris bersama pihak kumpulan Pakar Runding Penjenamaan, Pemasaran dan Strategi terkenal, Broku atau nama sebenar Ku Addy Fazly Ku Radin, dalam usaha untuk membantu golongan memerlukan termasuk selebriti menerusi program infak.

Mengulas mengenai FFM33 akan datang, Zurainah berkata penganjuran festival filem itu sekali lagi akan diadakan di luar Kuala Lumpur (KL), tahun depan.

“Kemungkinan FFM33 kita buat luar KL, dan adakan siri roadshow (jeyarawara) ke negeri yang berminat untuk menganjurkan FFM33.

“Saya pasti, dengan penganjuran ini, akan memberi keuntungan ekonomi, publisiti dan pemasaran kepada negeri itu, kerana rekod sudah menunjukkan, selama seminggu pelbagai program bersama artis, kru, dan segerombolan, diadakan sebelum tiba pada hari FFM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zurainah menjelaskan isu penyelewengan dana FINAS yang berbangkit baru-baru ini remeh dan ia boleh dibincangkan dengan baik kerana pihaknya terbuka untuk menyelesaikan sebarang isu.

“Nak cari pasal tiada masalah, ada masalah jumpa saya. Kita boleh duduk bincang kopi. Kalau nak publisiti muat naik di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan isu penyelewangan dana FINAS yang dibangkitkan oleh mantan Ketua Pengawai Eksekutif FINAS, Dr Ahmad Idham Nadzri dan mantan ahli perbadanan agensi itu, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Mereka mendakwa Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyalahgunakan kuasa bagi menjalankan projek pameran Hantu Filem bersempena penganjuran FFM32.

Bagaimanapun, Zurainah enggan mengulas lanjut selepas dimaklumkan pihak yang mendakwa terbabit membuat laporan polis.

Author

Pilihan Editor