GELOMBANG Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat bakal menggoyahkan beberapa kerusi milik Pakatan Haparan (PH) di Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, corak pengundian PRU15 amat berbeza, didorong pelbagai faktor yang mempengaruhi pengundi dalam menentukan pemimpin pilihan mereka.
“Keputusan di peringkat Parlimen pada PRU15, terutamanya di Padang Serai, Rabu lalu, memberi satu gambaran sebenar pemimpin pilihan pengundi.
“Malah, di beberapa kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), majoriti kita merosot dan kemenangan tidak memihak kepada PH.
“Perkara ini serius dan kita perlu mengkaji kelemahan, seterusnya mengatur strategi baharu untuk menawan hati pengundi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada Program Khatan Perdana KADUN Jawi di Dewan Serba Guna Jawi, Pulau Pinang, hari ini.
Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bagaimanapun perkara tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, namun pengaruh gabungan itu tidak akan menjadi sekuat dahulu.
Justeru, beliau berharap PH khususnya di negeri berkenaan dapat bekerja keras menjelang PRN yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.
“Kita perlu `all out’ (bekerja keras) dari segi pengaturan strategi, penganjuran program serta membuat lawatan mendekati masyarakat, di samping berjumpa dengan agensi bagi mencari penyelesaian kepada isu yang kita kumpul ketika kempen PRU lalu,” ujarnya.