HomeBeritaPerlu ada mekanisme kawalan isu perkauman di kalangan belia - Khairuddin

Perlu ada mekanisme kawalan isu perkauman di kalangan belia – Khairuddin

SERI KEMBANGAN: Kerajaan Selangor mengesyorkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan mekanisme kawalan terhadap isu perkauman yang semakin membimbangkan dalam kalangan belia.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman, pihaknya berpandangan serius dalam isu berkenaan kerana mendakwa kini menjadi budaya atau ‘trending’ yang tidak sewajarnya berlaku dalam masyarakat.

Beliau berkata, satu kerjasama menerusi kerajaan negeri dan kerajaan Pusat akan diadakan dalam masa terdekat, bagi terus mendekati anak muda dalam usaha menangani kebimbangan itu, susulan pelantikan baharu Menteri, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim di kementerian itu.

“Bagi program sukan, saya rasa tak perlu banyak sentuh sebab sudah ada sistem sendiri, tetapi saya akan minta menteri (Hannah) fokus kepada generasi muda dan belia kerana ini sangat kritikal (isu perkauman).

“Kebimbangan saya, isu orang muda yang tidak faham, terpengaruh dengan isu perkauman. Ini yang saya sangat risau, kebimbangan ke arah itu.

“Jadi, kita kena dekati mereka sebab mereka agak ‘fragile’ (lebih mudah menerima doktrin palsu),” katanya.

Khairuddin beramah mesra dengan pempamer di Mega Job Fair Selangor, MAEPS

Beliau juga mendakwa, kebanyakan kempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, dipercayai merosakkan minda pemikiran anak muda sehingga terdorong untuk menyentuh isu perkauman.

Justeru, Mohd Khairuddin mencadangkan kepada kerajaan Pusat untuk mengambil contoh negara luar yang mempunyai mekanisme kawalan terhadap isu berbangkit negara, namun Malaysia boleh membuat penambahbaikan lagi.

Terdahulu, beliau meninjau program Mega Job Fair Selangor 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang di sini.

Kira-kira 300 majikan menyediakan 300,000 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai sektor termasuk perkilangan, hospital, perhotelan, agensi kerajaan dan makanan dan minuman (F&B) di program berkenaan.

Khairuddin Othman pada sidang media di Mega Job Fair Selangor, MAEPS

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu berkata, kerajaan negeri terus mengekalkan komitmen mempertahankan kadar pengangguran di bawah empat peratus (4%) dengan pelbagai program peluang pekerjaan.

“Usaha ini diterjemah melalui rekod data penurunan kadar pengangguran Selangor pada 3.2 peratus atau 119,700 orang pada suku ketiga 2022 berbanding 4.3 peratus atau 196,000 bagi tempoh sama pada 2020.

“Untuk mengekalkan momentum, kita akan terus adakan program mega job fair ini kali kedua dan berharap dapat mengurangkan lagi kadar berkenaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor