HomeBeritaHarapan besar NGO, orang awam terhadap Menteri Kesihatan baharu

Harapan besar NGO, orang awam terhadap Menteri Kesihatan baharu

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pentadbiran Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa diharapkan dapat membangunkan sistem kesihatan awam yang lebih mesra dan kukuh.

Beberapa pihak daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam tampil menyuarakan harapan mereka terhadap wanita pertama KKM untuk memulakan perkhidmatan sebagai Menteri Kesihatan itu.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, Dr Zaliha perlu diberi sokongan padu dan kerjasama semua pihak memajukan perkhidmatan KKM kepada rakyat.

Azlin Othman.

Menurut Azlin, PMPM turut berterima kasih dan bersetuju dengan kenyataan beliau meneruskan legasi Khairy Jamaluddin iaitu Dasar Generasi Penamat (GEG) mengenai rokok dan vape.

“Dr Zaliha dan KKM turut diharap dapat memberi perhatian dalam mempergiatkan promosi ubat dan kosmetik selamat lebih holistik dan tidak memberi ruang iklan kepada perniagaan dan perkhidmatan produk kesihatan tidak tepat yang bersandarkan testimoni semata-mata di media sosial dan media massa selain wujudnya perkhidmatan doktor palsu yang mengambil kesempatan khususnya dalam hal kesihatan pergigian.

“Perniagaan dan perkhidmatan tidak beretika terus dikenakan dengan tindakan undang-undang lebih tegas dan dalam masa yang sama masyarakat pengguna dan orang ramai perlu diberi kefahaman demi menjamin masyarakat pengguna agar tidak mudah diperdaya,” kata Azlin.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr Lee Nan Sang berharap agar Dr Zaliha dapat memberi tumpuan untuk menyempurnakan kerja-kerja yang masih tertunggak dengan lebih progresif bagi membawa manfaat kepada rakyat.

Dr Lee Nan Sang.

“Kemudahan alat perubatan dan bangunan hospital atau klinik kesihatan yang telah lama atau kuno, saya berharap beliau dapat mengunjungi hospital dan klinik kesihatan untuk mendapat gambaran yang jelas.

“Seterusnya mengambil langkah yang wajib untuk memperbaikinya atau meningkatkan taraf, demi manfaat kepada rakyat terutamanya pengguna kemudahan kesihatan.

“Saya pernah melawat ke beberapa buah hospital di negara ini, dan juga menerima aduan dari pengguna bahawa misalnya, tempat parkir yang amat kurang, keadaan bilik rawatan yang tidak sempurna misalnya kerusi duduk untuk doktor, tempat duduk untuk pesakit yang menunggu dan sebagainya.

“Warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) harus diutamakan, khasnya masa menunggu rawatan dan mengambil ubat. Tempat duduk khas untuk mereka harus disediakan dengan mencukupi. Ramai yang datang ke hospital kerajaan untuk dapat rawatan adalah warga emas,” kata Lee.

Tambah Lee, KKM juga perlu menambah baik proses pendaftaran, masa menunggu dan proses pengambilan ubat, di samping memantau yuran perubatan hospital swasta sebagai langkah prihatin kepada pengguna terutamanya mereka dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Penderma darah tetap dari Tampin, Nallasivam Govindasamy pula berharap KKM dapat mempertingkatkan kesedaran menderma darah melalui pendidikan di sekolah dan penderma darah banyak kali.

Nallasivam Govindasamy.

Kata Nallasivam yang telah menderma darah sebanyak 85 kali, amalan menderma darah menyumbang kepada keselamatan menyelamatkan nyawa dan sewajarnya menjadi ikutan anak muda.

“Kesedaran menderma darah boleh ditingkatkan melalui pendidikan di sekolah dan penderma darah banyak kali sebagai contoh dengan minima 50 kali menderma darah boleh diberi penghargaan dan pengiktirafan sebagai kumpulan sukarelawan atau ikon kesihatan negara (Wira Sihat Selamat) kerana usaha menderma darah tidak ternilai harganya.

“Saya sebagai penderma darah memberi saranan agar pendidikan menderma darah boleh dicadangkan Menteri Kesihatan baharu kepada kerajaan untuk dimasukkan ke dalam silibus pendidikan.

“Bermula di sekolah rendah lagi, bermula usia 10 tahun untuk memberi pendedahan awal dan dapat tingkatkan pengetahuan menjadi modal insan berguna kepada negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun usia membolehkan penderma darah pertama kali adalah seawal 18 tahun, namun pendedahan awal melalui pendidikan boleh memberi motivasi kepada anak-anak untuk menjadi insan prihatin.

Author

Pilihan Editor