HomeBeritaPelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan - Anwar

Pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mengenai pelantikan Pengerusi Felcra, memang sudah dimaklumkan kepada TPM dan ditangguhkan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Pada masa sama, Anwar turut menegaskan beliau tidak pernah menyatakan bahawa mana-mana lantikan politik tidak boleh berada dalam bidang pengurusan.

Jelasnya lagi, pihak berkenaan boleh memasuki bidang pengurusan dengan syarat dan kelayakan yang sejajar.

“Mereka itu mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

“Itu saya nak jelaskan bahawa ada kemungkinan beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang ditugaskan tetapi kita menetapkan kaedah dan keupayaan profesional dan prestasi sebelumnya pematuhan kepada peraturan tata kelola yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Author

Pilihan Editor