HomeBeritaIktiraf UEC beri mudarat besar - Zainal Kling

Iktiraf UEC beri mudarat besar – Zainal Kling

SHAH ALAM: “Kerajaan wajib menghapuskan terus sistem Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang membawa banyak mudarat berbanding kebaikan, nokhtah!,” kata Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling.

Dr Zainal berkata, UEC adalah sistem pendidikan dari China yang dilaksanakan di sekolah swasta Cina dan ia tidak boleh diiktiraf kerana bertentangan Akta Pendidikan Negara dan Perlembagaan Negara Perkara 152.

“Perlembagaan meletakkan segala hal berkaitan hal rasmi khususnya pendidikan mestilah dalam bahasa Melayu, kita sudah benarkan dia (UEC) operate pun mereka sudah untung jadi hendak apa lagi?

“Ini mereka mahu letakkan UEC setaraf pendidikan negara, sepatutnya kerajaan tidak perlu fikir pun, terus reject, nokhtah!,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Anggota Jawatankuasa Majlis Perundingan Melayu itu menegaskan, kesan jika UEC ini diteruskan adalah ia akan menghapuskan patriotisme dan kesetiaan rakyat kepada Malaysia sebaliknya setia mereka itu kepada China.

“Pendidikan UEC mahu menaikkan bahasa Cina sebagai Bahasa Kebangsaan dan juga sejarah negara Republik itu.

“Apabila semua dalam bahasa Cina, bahan dalam bahasa Cina, bukan Malaysia pun,  jadi apa pasal pula kita nak angkat dia pulak?

“Sejarah Tanah Melayu pun ramai tidak tahu, ini hendak naikkan negara orang pula, mereka rakyat negara mana?

“Ini anak-anak warga Malaysia yang diajar hal warga China buat apa? Ia hanya wujudkan golongan cauvinistik, tidak setia, tidak cintakan negara sendiri dan ini adalah sikap kebangsaan yang amat sempit, yang orang Malaysia tidak patut ada.

“Mudaratnya lebih besar dari kebaikan, UEC ini sudah wujud sejak zaman British
tinggalan kolonialisme anakronitik yang menjadikan anak kita ketinggalan zaman bukan ke hadapan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf UEC kerana kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Pendirian itu dijelaskan menerusi mantan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Untuk rekod, Lim Lian Geok, antara pengasas Dong Jiao Zong dilucutkan kerakyatan oleh kerajaan Malaysia pada era 60-an.

Akibat tindakannya yang didakwa bergiat menghasut rakyat benci terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Senator Leong Yew Koh ketika itu membuat tindakan drastik dengan membatalkan kewarganegaraan Lian Geok.

Meskipun dibatalkan, Lian Geok masih dibenarkan tinggal di Malaysia sehingga ke akhir hayat.

Tan Sri Annuar Musa yang dipecat keahlian UMNO baru-baru ini juga, pernah mendesak kerajaan mengiktiraf sijil UEC kononnya bagi mengelak bakat tempatan meninggalkan negara ini.

Kenyataan beliau ketika itu bahawa UniKL (Universiti Kuala Lumpur) mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti itu.

Ia bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bahawa UniKL tidak berhasrat untuk mengiktiraf sijil UEC, bagi kemasukan ke universiti itu setakat ini.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, sijil itu tidak selaras dengan falsafah pendidikan
negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Author

Pilihan Editor