PUTRAJAYA: Jenazah seorang pelancong Malaysia yang lemas di Bali, Indonesia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.15 malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Jumaat, mangsa dihanyutkan arus kuat pada pukul 2.50 petang Selasa (27 Disember) dan ditemui pada keesokannya.
Semasa kejadian di Diamond Beach di Pulau Nusa Penida, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan dua orang pelancong asing yang bergelut dalam air akibat ombak besar dan arus kuat.
Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memudahcara pengurusan jenazah, termasuk penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan untuk membolehkan jenazah dibawa pulang dengan segera.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian itu juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar pihak keluarga tabah dalam mengharungi masa-masa sukar ini.
Sementara itu, menurut laporan media tempatan di Bali, saksi yang melihat kejadian terus melaporkannya kepada pihak berkuasa yang memulakan usaha mencari dan menyelamat dengan segera.
Bagaimanapun, usaha menyelamat pada Selasa terpaksa dihentikan selepas seketika kerana ombak berbahaya selain cuaca buruk dan hari semakin gelap. Operasi mencari disambung semula keesokannya dan mayat mangsa ditemui pada pukul 10.10 pagi , enam batu nautika daripada tempat dia hilang. – BERNAMA