KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan, esok dan hari berikutnya.
JPS dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, banjir boleh berlaku sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut yang kesemuanya di Terengganu dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.
Ramalan itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Mateorologi Malaysia dan hasil simulasi model ramalan banjir.
Di Terengganu, beberapa kawasan berisiko banjir esok adalah daerah Setiu (Kampung Che Mohid, Sekolah Kebangsaan Kampong Besut dan kawasan sekitarnya) mulai jam 5 petang, manakala ( Kampung Permaisuri, Kampung Nyatoh dan kawasan sekitarnya) mulai jam 8 malam.
“Jumaat ini, JPS meramalkan banjir akan berlaku di kawasan daerah Dungun (Kampung Wa dan kawasan sekitarnya) serta di daerah Kemaman (Sungai Pinang dan kawasan sekitarnya) mulai jam 8 pagi,” menurut kenyataan itu.
Pada tarikh sama, JPS turut meramalkan kawasan dijangka berlaku banjir di Kelantan adalah di daerah Pasir Mas (Kampung Lubok Stol dan kawasan sekitarnya) mulai jam 12 tengah hari manakala kawasan sekitar Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Tok Deh, Kampung Lanchang, Kampung Siput mulai 9 pagi.
JPS turut meramalkan kejadian berlaku banjir di Terengganu pada Jumaat ini seperti di kawasan daerah Besut (Rumah Pam Pelagat dan kawasan sekitarnya) dan Daerah Paka (Kampung Luit dan kawasan sekitarnya) mulai jam 7 malam.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut. – BERNAMA