HomeBeritaKebanyakan fasiliti LRT, MRT dan Monorel Lembah Klang kembali pulih

Kebanyakan fasiliti LRT, MRT dan Monorel Lembah Klang kembali pulih

CYBERJAYA: Kebanyakan fasiliti di LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang seperti eskalator dan lif sudah kembali beroperasi, kata Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rapid Rail selaku operator kepada perkhidmatan di stesen- stesen rel kendaliannya, memaklumkan dalam kenyataan itu perkembangan terkini kerja-kerja baik pulih fasiliti stesen.

Antara fasiliti tersebut ialah eskalator di mana, menurut Rapid Rail, pihaknya menerima alat ganti fasa 1 pada awal Disember lalu, setelah mengalami kelewatan penghantaran disebabkan gangguan rantaian bekalan global.

“Dengan ketersediaan alat-alat ganti tersebut, kerja-kerja penggantian segera telah dijalankan kontraktor pengilang pengeluar asal atau ‘original equipment manufacturer’ (OEM) secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2023.

“Setakat 15 Disember, proses penggantian 20 unit ‘handrail’ dan tiga unit ‘stepchain’ di 10 stesen MRT telah disiapkan, dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi,” katanya.

Rapid Rail berkata, akan melaksanakan program penyelenggaraan berasaskan keadaan atau ‘condition based maintenance’ (CBM) sebagai langkah jangka panjang terhadap eskalator stesen.

Proses CBM akan terus mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.

Kebanyakan lif stesen juga telah kembali operasi di mana projek naik taraf lif akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

“Buat masa ini, peratus ketersediaan operasi fasiliti lif di stesen LRT dan MRT berada pada tahap 99 peratus. Aktiviti penyelenggaran sentiasa dilakukan secara berkala bagi memastikan fasiliti yang disediakan untuk pengguna berada dalam keadaan yang baik.

“Mengenai isu lif di stesen-stesen monorel pula, reka bentuk asal stesen monorel tidak mempunyai fasiliti lif. Menyedari keperluan pengguna terutamanya warga emas dan orang kelainan upaya, Prasarana telah mengambil inisiatif untuk menambah 18 unit lif dan 39 unit ‘wheelchair platform lift’ ini untuk keselesaan orang awam,” katanya lagi.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel ini memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki.

Masalah kebocoran di 93 lokasi di stesen, kerja-kerja membaik pulih di 21 lokasi di stesen LRT dan Monorel pula berjaya disiapkan dan bakinya akan diselesaikan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.

Proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan.

Sementara itu, kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen-stesen telah hampir selesai.

Rapid Rail telah menjalankan program pemeriksaan serta penyelenggaran berkala dan buat masa ini bilangan lampu yang tidak berfungsi adalah di bawah satu peratus.

“Rapid Rail juga telah menghebahkan status terkini pembaikan fasiliti stesen menerusi paparan info grafik di media sosial sebagai maklumat kepada pengguna Rapid KL.

“Adalah menjadi misi Rapid Rail untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan awam melalui sistem jaringan rel dan fasiliti yang baik demi keselesaan dan keselamatan para pengguna.

“Para pelanggan boleh menyalurkan sebarang cadangan atau maklumat mengenai kerosakan fasiliti stesen menerusi email ke suggest@rapidkl.com.my atau berhubung terus menerusi platform media sosial Rapid KL,” pesannya.

Author

Pilihan Editor