KUALA LUMPUR: Kisah sebuah rumah tiba-tiba menjadi topik bualan hangat dalam ribut politik parti keramat, UMNO kebelakangan ini.
Rumah dijadikan medium utama penceritaan sebuah cerpen secara bertulis di media sosial pemimpin politik, jadi sudah tentu ada tukang ceritanya, atau lebih tepat penglipur laranya.
Jika mantan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bercerita ‘mimpi rumah pusaka’ yang menjadi tempatnya tinggal terbakar, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil turut sama ‘bermimpi’ rumah terbakar.
Susulan mengenai rumah terbakar itu, mantan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang diketahui sebagai pemimpin populis dalam kalangan generasi muda yang banyak mengakses media sosial, tidak melepaskan peluang menyampaikan cerpennya mengenai rumah terbakar juga.
Perkara itu dikongsi menerusi hantaran di akaun Facebook yang dikendalikan oleh pentadbir atau ‘admin’nya malam tadi.
“Ada sebuah keluarga ni.
“Kedua-dua orang tua tiada di rumah.
“Tetapi rumah ada sedikit renovation (baik pulih) perlu dibuat.
“Ketika itu abang yang sulung sebagai ketua dengan ahli-ahli keluarga tengah meeting (mesyuarat).
“Macam-macam bagi pendapat tetapi keluarga semua tahu, kita kena settle (selesai) dulu apa yang perlu buat.
“Bagi rumah ok dulu.
“Siapa nak tidur bilik satu, bilik dua, tidur kat ruang tamu, itu nanti.
“Tetapi ada seorang ni berpakat dengan beberapa sepupu-sepupu yang sewaktu dengan dia pula buat hal.
“Hari-hari main bunga api. Bising.
“Tak tolong tak apa. Tetapi buat bising hari-hari.
“Ada satu hari jerit kuat-kuat “Api, api!”
Tengok-tengok dia yang syok main dengan api, nak nyala meriam buluh kat pintu rumah dengan sepupu-sepupu.
“Apa lagi, terbakar la rumah tu.
“Keluarga yang tengah berbincang tu pun keluar nak padamkan api, nak pastikan api tak merebak, usaha lagi nak tambah baik rumah.
“Dalam rumah ada perkara-perkara yang perlu settle, pintu rumah pun perlu settle sekarang.
“Masa keluarga usaha sendiri tampal tampal simen, repair (baiki) bumbung, cat rumah baru, dia pula cari ejen jualkan rumah kita.
“Berpuluh juta sanggup dia ambil, jual tanah pusaka yang kononnya disayangi dan didiami lama.
“Last-last (akhirnya) buat cerita sedih, hanya mampu tengok rumah dari luar pagar sahaja ketika ni,” tulisnya.
Najib dipercayai menulis kisah rumah merujuk kepada UMNO, Presiden (abang sulung) berbincang dengan ahli (keluarga) untuk menyelamatkan parti, tetapi wujud seorang pengkhianat (dia) yang cuba menjatuhkan parti namun sempat dihidu, yang akhirnya pengkhianat itu kini bukan lagi sebahagian keluarga di rumah itu.
Menariknya, penceritaan itu berjaya menyelitkan unsur kesusasteraan Melayu iaitu personifikasi seperti jerit kuat-kuat bermain bunga api merujuk kepada sifat mencemuh parti, selain ‘renovation’ atau dalam bahasa Melayu baik pulih merujuk kepada menyelamatkan parti.
Selain itu, unsur metafora turut diselitkan iaitu rumah merujuk sebagai UMNO dan ejen merujuk kepada parti lain untuk bekerjasama dengan UMNO, namun bertentangan dengan keputusan kepimpinan tertinggi.