KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu termasuk dua wanita warga Thailand dipercayai terbabit sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi serbuan di dua kondominium di Jalan Ampang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, serbuan pada 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.
Beliau berkata, kesemua individu berkenaan yang berumur 19 hingga 37 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan itu yang menyasarkan mangsa di luar negara.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk enam komputer, dua komputer riba dan 26 telefon bimbit disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lepas di premis berkenaan yang disewa dengan harga antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi melengkapkan kertas siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang tidak jelas dan menjanjikan keuntungan yang lumayan. – BERNAMA