IPOH: Seorang penganggur yang dalam status orang pengawasan polis, ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di sini malam tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, anggota Balai Polis Chemor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.30 malam dan mendapati satu mayat lelaki di luar rumah teres satu tingkat yang didiami mangsa dan isterinya.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 37 tahun merupakan seorang penganggur yang telah melarikan diri daripada pengawasan polis Parit Buntar.
“Temu bual bersama adik ipar lelaki mangsa yang baru sahaja menumpang di rumahnya selama seminggu memaklumkan bahawa pada masa kejadian, beliau terdengar ada orang mengetuk pintu rumah dan mengatakan lelaki itu kena langgar.
“Saksi membuka pintu dan ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kemudian saksi ternampak mangsa berada di hadapan rumah dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap. Mangsa juga tidak mengatakan apa-apa kepadanya (sebelum meninggal dunia),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga, tangan, kaki dan badan mangsa.
“Ada kemungkinan si mati merupakan mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas si mati diperlukan untuk menentukan punca kematian,” kata Mohd Yusri dan menambah bedah siasat akan dijalankan di hospital itu hari ini. – BERNAMA