KUALA LUMPUR: Madrasah dan pendidikan tahfiz di Indonesia bukan lagi memfokuskan bidang agama, tetapi kini berusaha melengkapkan diri anak-anak pesantren untuk menguasai bidang teknologi dan robotik.
Bagi mereka mencintai ilmu adalah jihad yang mulia dan ilmu tidak terbatas kepada satu aspek sahaja kerana luasnya ibarat air laut meliputi permukaan dunia.
Usaha madrasah dan tahfiz di Indonesia dalam melahirkan pelajar berpakej lengkap wajar dicontohi dalam membantu generasi muda mendepani Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), akan datang.
170 pelajar madrasah dan tahfiz dari Indonesia berkumpul di Malaysia baru-baru ini untuk menyertai International World Robotic Championship bertempat di Palace Hotel.
Pelbagai rekaan robotik dipertandingkan walaupun saiznya kecil namun berjaya dipersembahkan dengan baik sehingga ada yang membawa pulang trofi kemenangan.
Ini sejajar dengan usaha kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan yang mahu peranan pusat tahfiz dengan kepelbagaian kemahiran demi masa depan mereka dan negara.
Pengarah Pondok Pesantren Karyamas Bangsa dari Batam, Mas Rum ketika ditemui berkata, melihat keperluan semasa semakin menuntut generasi baharu mempunyai pelbagai kemahiran, pihaknya tidak sahaja mengutamakan pengajian agama tetapi kemahiran berdasarkan minat pelajar.
“Selama ini umum hanya tahu pesantren (madrasah) hanya untuk mengaji, tetapi kita mahu menunjukkan lebih daripada itu, bahawa pelajar juga ada kemahiran hidup berdasarkan minat dan bakat mereka.
“Kita belajar agama secara umum, tetapi masih menerapkan subjek kemahiran insaniah atau soft skill seperti ‘public speaking’, harta intelek (IP) digital, robotik. Jadi, itu tujuan kita datang ke sini, untuk menimba pengalaman dan mengembangkan minat pelajar di Indonesia nanti.
“Kita melihat dunia robotik boleh berkembang jauh, ketika ini robotik digunakan untuk membantu restoran sebagai pelayan, penghantar makanan, juga membantu sektor perubatan ketika pembedahan dan sebagainya, mungkin tidak lama lagi robotik digunakan untuk semua sektor pekerjaan.
“Kita mahu anak-anak tahfiz berpandangan jauh bukan duduk bawah tempurung, mereka perlu explorasi kemahiran, kecerdasan minda mereka dalam memberi manfaat kepada masyarakat dan dunia,” katanya.
Seorang lagi, Pengarah Madrasah Sanawiah Negeri Tiga Madiun Jawa Timur, Ruwiyati Rohmah berkata, generasi hari ini mudah menyerap pelbagai kemahiran.
“Ilmu robotik merupakan persiapan kepada anak-anak di alam pekerjaan di masa depan yang begitu bergantung kepada IR 4.0.
“Kita perlu melengkapkan anak-anak kita dengan segala ilmu yang akan menyediakan masa depan mereka dalam bidang matematik, sains dan teknologi, rekabentuk dan penguatkuasaan teknologi.
“Ternyata, banyak pengalaman dapat dikongsi melalui program seperti ini, malah banyak lagi hal yang kami perlu belajar dari Malaysia,” katanya.
Mereka ditemui MEDIA VARIASI ketika delegasi pesantren dari Indonesia itu membuat kunjungan ke pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini.
Terdahulu, kira-kira 10 wakil pesantren dari seluruh Indonesia menyertai pertandingan Robotik For Peace anjuran Yayasan Gift.
Yang turut hadir, Presiden Yayasan Gift, Prof Firdaus Azzam; Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.