KUALA LUMPUR: Jika tayar kereta anda tiba-tiba dikunci oleh mana-mana pihak atau syarikat, ketahuilah Mahkamah Rayuan Putrajaya kini memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar kenderaan adalah tidak sah.
Dengan keputusan ini, maka tiada pihak boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta.
Perkara ini tercetus selepas wujudnya gesaan orang ramai agar Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi kelonggaran terhadap peraturan meletak kenderaan di bandar itu, selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar dikenakan terhadap pemilik.
Orang ramai mendakwa, sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan seolah-olah rancak membuat ‘bisnes’ kunci tayar apabila sengaja mencari pesalah di bahu jalan khususnya di laluan masuk hospital dan lokasi tumpuan awam.
Mereka berpendapat bahawa peraturan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci tersebut dibuka perlu diberi kelonggaran atau sekurang-kurangnya diskaun, dengan mengambil kira kebajikan rakyat yang kini berdepan musim pandemik berpanjangan.
Permasalahan itu akhirnya sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya dan pada 8 Disember 2022, pihak mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar MPKB adalah tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Datuk Hashim Hamzah, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan bahawa Perintah 8 di bawah perintah sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan letak kereta.
Persidangan penghakiman turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang Lian.
Perayu di dalam kes ini, Nursyafawati Kasim diwakili peguam, Hisham Fauzi Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing.
MPKB pula diwakili peguam, Marwalis Adam dan Shaharuddin Mohamed.