KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan dengan ke atas sindiket penipuan pelaburan yang digerakkan bawah syarikat bernama ‘Zutello’.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket penipuan ini masih lagi berleluasa walaupun polis telah melakukan siasatan.
Menurut Hishamuddin, sindiket ini mengambil kesempatan khususnya ke atas masyarakat Cina, yang dianggarkan lebih ribuan mangsa telah ditipu sindiket ini.
“Menggunakan modus operandi satu pelaburan, yang mana pelaburan ini diikat dengan satu sistem insurans, menyasarkan waktu di mana rakyat Malaysia sedang berada dalam tempoh kesusahan, waktu PKP, yang mana rakyat tidak boleh keluar dan hilang punca pendapatan.
“Mereka mengambil kesempatan dengan memperdaya dan ramai magsa yang tertipu, ada di kalangan mangsa merupakan warga emas yang telah menggunakan wang EPF mereka.
“Ada di kalangan mangsa telah menutup akaun insurans dan mengeluarkan wang bagi menyertai pelaburan ini. Ada di kalangan mangsa meminjam wang ‘ah long’ semata-mata ingin menyertai program ini.
“Sindiket ini sehingga ke hari ini belum lagi ditangkap, berleluasa dan mula menyediakan satu program yang baru dan menyasarkan bukan sahaja masyarakat Cina tetapi juga pelbagai bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat laporan polis beramai-ramai bersama hampir 200 orang mangsa dan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin.
Turut hadir bersama beliau dan mangsa ialah Bekas Ketua Polis Negara merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.
Hishamuddin juga mencadangkan agar pihak berkuasa menguatkuasakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) ke atas sindiket ini.
“Sekiranya pihak polis tidak melakukakan tindakan yang serius, kumpulan sindiket ini akan lebih bermaharajalela dan mereka akan lebih besar dan mungkin akan menjadi kartel penipuan yang akan menyasarkan lebih ramai rakyat Malaysia.
“Sebab itulah tindakan perlu diambil dengan serius. Kita ingin mencadangkan kepada pihak berkuasa khususnya polis di sebalik menggunakan Kanun Keseksaan Jenayah 420 Penipuan, turut untuk menggunakan pencegahan yang lain, seperti SOSMA dan POCA.
“Kita mendapat maklumat bahawa POCA seolah-olah dihentikan. Kita daripada MHO dan MCCC akan mendesak kerajaan supaya undang-undang POCA dikuatkuasakan semula kepada sindiket penipuan yang bermaharajalela,” tegasnya lagi.