CYBERJAYA: Baru-baru ini, usahawan selebriti, Rozita Che Wan mencuri tumpuan warga maya apabila memuat naik beberapa keping foto dengan memakai busana yang berharga RM80,000 sempena sambutan ulang tahun perkahwinannya bersama Zain Saidin, yang kesembilan tahun.
Dalam hantaran sama, Rozita Abu Bakar yang mesra disapa Che Ta, 49, turut berkongsi kisah hubungan suami isteri yang dilaluinya bersama Zain, 38.
Menurutnya, kehadiran Zain sebagai peneman hidup adalah suatu anugerah yang terindah buat dia sekeluarga.
“12 tahun jadi ibu tunggal, tak pernah give up dengan perkahwinan. Kadang Allah hantar ‘peneman’ utk uji kesabaran kita. Kalau sabar kekallah bahtera yang kita bina, kalau tak sabar itu yang porak peranda. Alhamdulliah 9 tahun ini Allah hantar yang baik-baik saja.
“Zain tak pernah suruh kami kemas rumah, tak pernah paksa masak jauh sekali nak control pergerakan kami,” tulisnya dalam kapsyen itu.
Pada masa sama, Che Ta turut berseloroh dengan mengatakan dia pernah terfikir mahu memakai skirt atas paha selepas mengahwini Zain yang merupakan kacukan Pan Asia.
“Tak sangka mat saleh celup yg kami kahwin ini sangat particular tentang agama. Ingat lepas kahwin, nak pakai skirt atas paha ja, yela kita pulak nak feeling macam kahwin dengan mat saleh, tapi terus slowly tutup aurat. Alhamdulillah!
“Ada sebab Allah hantar ‘peneman’ hidup kita tak kaya, tapi kami bahagia,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Che Ta turut menasihatkan seluruh wanita yang pernah kecewa dengan rumah tangga supaya tidak putus asa dalam mencari kebahagiaan.
“Kalau ada wanita di luar sana yang give up bila rumahtangga ‘berderai’ jangan you all. Mungkin jodoh you all akan muncul, tengah on the way insyaAllah, Allah tengah pilih yang baik-baik untuk you all. Doa yang baik-baik akan dapat yang baik. InsyaAllah,” ujarnya.
Che Ta dan Zain mendirikan rumah tangga pada Disember 2013 dan mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Aaisyah Dhia Rana.
Che Ta juga mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Affendy dan Aniq Ezzra.