KUALA LUMPUR: Pemain sayap sensasi negara, Mohamad Faisal Abdul Halim yang mengumpul tiga gol setakat ini mendedahkan beliau dicabar untuk merebut gelaran penjaring terbanyak saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Pemain baharu Selangor FC berusia 24 tahun itu berkata, cabaran tersebut diberikan Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang menaruh harapan tinggi untuk beliau merangkul gelaran itu.
“Sebenarnya itu (muncul penjaring terbanyak) tanggungjawab yang besar tapi saya ambil cabaran tersebut sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
“Saya sahut cabaran Kim Pan Gon itu… saya tengok riak wajahnya memang beliau betul-betul nak saya jadi penjaring terbanyak,” katanya ketika ditemui selepas kemenangan besar 5-0 Malaysia ke atas Laos pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, di Bukit Jalil, malam tadi.
Menurut Mohamad Faisal cabaran itu secara tidak langsung mempengaruhi prestasinya selepas beliau meledak jaringan kemenangan ketika Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan di Yangon, Rabu lepas, diikuti dua gol lagi menerusi tandukan semasa berdepan Laos.
Bagaimanapun, beliau berkata muncul penjaring terbanyak bukan perkara terpenting menjelang dua aksi terakhir kumpulan menentang Vietnam di Hanoi, Selasa ini dan Singapura di sini pada 3 Jan, yang bakal menjadi penentu dalam perebutan dua slot teratas untuk ke peringkat separuh akhir.
“Yang penting saya nak pasukan ke final. Itu matlamat paling utama, saya dapat gelaran penjaring terbanyak atau pun tidak, atau saya berjaya jaringkan gol selepas ini atau pun tidak, itu tidak penting.
“Saya tidak jaringkan gol tak mengapa janji pasukan menang dan kita layak ke separuh akhir, seterusnya final,” katanya yang mendapat kepercayaan Pan Gon menjadi antara tiga ketua pasukan negara selain Muhammad Safawi Rasid dan Brendan Gan pada kempen kejohanan kali ini.
Mohamad Faisal dan penyerang Filipina, Kenshiro Daniels kini mendahului carta penjaring terbanyak apabila masing-masing mengumpul tiga gol selepas dua perlawanan.
Sebagai rekod, bekas ketua pasukan negara Safiq Rahim ialah pemain Malaysia terakhir merangkul gelaran penjaring terbanyak Piala AFF selepas mengumpul keseluruhan enam gol pada edisi 2014.
Selepas dua perlawanan, Malaysia mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata. – BERNAMA