HomeBeritaBekalan air bersih akan mula diagihkan secara berperingkat - Air Selangor

Bekalan air bersih akan mula diagihkan secara berperingkat – Air Selangor

CYBERJAYA: Syarikat Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada para pengguna.

Perkara itu berikutan bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut telah direkodkan di Loji Rawatan Air (LRA) Sg Semenyih sekali gus membolehkan loji itu boleh beroperasi semula.

“Pengoperasian semula ini melibatkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka akan mengambil masa lebih kurang 12 jam.

“Sejurus itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat,” maklumnya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima daerah di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi, Sabtu.

Perihal itu susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Author

Pilihan Editor