CYBERJAYA: PAS mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kebenaran tuduhannya bahawa dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN) datang daripada syarikat judi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika Anwar gagal membuktikan kebenaran tuduhan Perdana Menteri itu, PAS akan saman beliau.
“PAS amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian.
“Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.
“Sekiranya gagal PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Untuk rekod, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi bayangan bahawa dana PRU15 yang digunakan PN datang dari sumber perjudian.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana datang dari syarikat judi,” kata Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pada Isnin.