HomeMV+EksklusifBalkoni jadi ruang tidur keluarga besar di flat San Peng

Balkoni jadi ruang tidur keluarga besar di flat San Peng

KUALA LUMPUR: Projek Perumahan Awam (PPA) Flat Sri Selangor Jalan San Peng yang meliputi satu unit bilik tidur berserta satu bilik air, kini tidak lagi sesuai untuk menampung penempatan ahli keluarga yang besar.

Bagaimanapun, itulah yang dialami oleh sebuah keluarga B40 yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan terpaksa menghuni rumah itu seramai enam beranak termasuk empat remaja.

Keluarga tersebut mula menghuni kediaman berkenaan sejak tahun 2018 selepas berpindah dari Sabah.

Empat anak kepada pasangan Jumatiah Jahud dan suami, semakin meningkat dewasa sekali gus mengehadkan pergerakan dalam ruang kediaman yang sempit.

Anak gadisnya, Syarijana Jamil, 17, terpaksa berkongsi bilik dengan adik yang berusia 12 tahun dan kakak sepupunya, 27 tahun.

Jumatiah dan suami pula tidur di ruang tamu manakala anak lelaki mereka di ruang balkoni.

Tinjauan MEDIA VARIASI ke flat 16 tingkat yang terkenal dengan jolokan flat San Peng itu amat mengejutkan kerana ruangannya amat sempit iaitu 650 kaki persegi.

Menurut Syarijana, situasi menjadi kurang selesa apabila menjelang waktu malam apabila kesemua ahli keluarga berada di rumah kerana ruang yang terhad.

Situasi sama turut dialami mereka ketika menerima kunjungan sanak saudara yang ramai serta sewaktu sambutan perayaan hari raya.

“Kasihan adik lelaki saya digigit nyamuk dan juga kesejukan kerana keadaan balkoni yang terbuka.

“Jika ada keluarga datang semua perlu berhimpit tidur di ruang tamu yang amat sempit.

“Hendak ulang kaji pelajaran juga sukar, tidak selesa,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Susulan itu, Syarijana sekeluarga berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi pentadbiran baharu Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi sinar baharu kepada keluarganya.

“Kami berharap dapat peluang berpindah ke rumah DBKL tingkat atas yang lebih selesa untuk keluarga yang besar.

“Di sini semua kemudahan cukup, sekolah dekat, ada taman permainan kanak-kanak, padang futsal, beberapa kedai runcit dan kedai makan kecil-kecilan.

“Cuma isu ruang penempatan sahaja yang perlu ditambah baik demi kesejahteraan keluarga,” katanya.

Justeru, diharapkan pihak DBKL dapat mempertimbangkan semula keluasan saiz rumah dan jumlah penghuninya agar matlamat keluarga harmoni yang diharapkan negara tercapai.

 

Author

Pilihan Editor